
PUTRAJAYA – Belanjawan 2027 perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin transformasi ekonomi negara menerusi pengukuhan kedudukan fiskal, reformasi hasil yang lebih cekap serta penarikan pelaburan berkualiti tinggi bagi mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi bernilai tambah tinggi.
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata, bajet yang bakal dibentangkan itu hadir ketika ekonomi negara menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan 5.7 peratus pada separuh pertama 2026 dan 6.0 peratus pada suku kedua tahun ini.
Menurut beliau, inflasi yang kekal rendah pada purata 1.8 peratus bagi tempoh Januari hingga Julai serta pasaran buruh yang stabil turut memberi ruang kepada kerajaan merangka strategi pembangunan yang lebih menyeluruh dan berorientasikan masa depan.
“Pelaburan, aktiviti sektor perkhidmatan dan pelancongan turut menyokong pertumbuhan. Dalam keadaan ini, Malaysia mempunyai ruang untuk merangka Belanjawan 2027 secara lebih strategik bukan sekadar mengekalkan pertumbuhan, tetapi meningkatkan kualitinya.
“Pada pandangan saya, Belanjawan 2027 mempunyai peluang untuk membawa Malaysia lebih hampir kepada tahap ekonomi maju. Sasaran meningkatkan pendapatan per kapita negara kepada sekitar AS$15,000 satu matlamat yang boleh dicapai sekiranya momentum pertumbuhan, pelaburan dan peningkatan produktiviti dapat dikekalkan.
“Namun, pertumbuhan ekonomi yang tinggi sahaja tidak mencukupi. Persoalan lebih penting, sejauh mana manfaat pembangunan diterjemahkan kepada pendapatan lebih baik, pekerjaan berkualiti dan taraf hidup yang lebih tinggi,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, kerajaan perlu terus memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati secara lebih meluas termasuk memberi ruang kepada industri serta perusahaan kecil untuk berkembang, selain memastikan bantuan kos sara hidup seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sampai kepada golongan yang memerlukan.
Tambahnya, sebarang ruang fiskal yang wujud perlu diurus secara berhemat dan disalurkan kepada keutamaan pembangunan yang memberikan pulangan jangka panjang kepada ekonomi, khususnya jika negara memperoleh hasil tambahan daripada sektor petroleum berikutan harga minyak lebih tinggi.
“Dalam usaha memperkukuh kedudukan fiskal, kerajaan perlu terus mencari ruang meningkatkan hasil. Namun, usaha itu tidak boleh mengorbankan pertumbuhan ekonomi, daya saing industri atau menambah tekanan kos sara hidup rakyat.
“Pendekatan menggabungkan atau menyesuaikan unsur SST dan GST wajar dikaji bagi membentuk sistem percukaian yang lebih cekap dan meluas tanpa mencetuskan tekanan inflasi yang tidak perlu,” katanya.

Katanya, reformasi percukaian bukan semata-mata untuk mengutip lebih banyak hasil namun ia perlu meningkatkan hasil kerajaan sambil memastikan kos perniagaan kekal kompetitif dan pengguna tidak menanggung beban yang tidak perlu.
“Kesan cukai secara berlapis atau cascading effect terhadap input pengeluaran perlu diberi perhatian. Cukai pada satu peringkat boleh menjadi kos pada peringkat berikutnya, akhirnya meningkatkan kos pengeluaran serta harga pada pengguna. Justeru, MIER cadang agar pengecualian cukai input tertentu dipertimbangkan, dengan syarat hasil keseluruhan kerajaan tidak terjejas
“Pendekatan ini boleh membantu mengurangkan kos industri dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan. Sistem yang baik adalah yang meningkatkan hasil tanpa mematikan insentif untuk melabur, mengembangkan perniagaan dan mencipta pekerjaan,” katanya.
Dalam aspek pelaburan pula, Sulaiman yang juga bekas Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mencadangkan kerajaan mempertimbangkan peruntukan khas kepada agensi itu bagi menarik lebih banyak industri berteknologi tinggi dan berkemahiran tinggi ke negara ini.
Katanya, Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada jumlah modal pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada pelaburan yang membawa teknologi baharu, meningkatkan produktiviti, membangunkan kemahiran tenaga kerja tempatan serta mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Industri berteknologi tinggi dan berkemahiran tinggi yang dibawa ke Malaysia boleh diberikan galakan industri yang khusus dan berbeza (special and differentiated incentives) berdasarkan nilai strategik yang dibawa kepada ekonomi negara.
“Pendekatan ini bukan sekadar menarik syarikat asing, iia pelaburan strategik membina keupayaan industri dan modal insan negara. Apabila industri berteknologi tinggi berkembang, pekerja tempatan mendapat peluang menguasai kemahiran baharu, manakala syarikat tempatan berpeluang menyertai rantaian bekalan bernilai lebih tinggi.
“Malaysia memerlukan kelompok industri baharu berasaskan teknologi, inovasi dan kemahiran tinggi sebagai asas kepada fasa perindustrian seterusnya. Kita tidak seharusnya hanya bersaing untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan; kita perlu bersaing untuk mendapatkan pelaburan yang lebih berkualiti,” katanya.
Tambahnya, Belanjawan 2027 boleh menyediakan pemangkin yang membolehkan Malaysia bukan sahaja menerima pelaburan, tetapi membina industri masa hadapan, meningkatkan kemahiran rakyat dan bergerak ke arah ekonomi bernilai tambah tinggi.
Kata Sulaiman, Belanjawan 2027 perlu menjadi instrumen yang menghubungkan disiplin fiskal dengan pertumbuhan ekonomi, pelaburan dengan teknologi serta pembangunan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat.
“Belanjawan 2027 bukan sekadar soal berapa banyak kerajaan membelanja dan berapa banyak hasil dikutip. Ia soal ekonomi seperti apa yang mahu kita bina. Malaysia kini berada pada persimpangan penting. Asas ekonomi yang semakin kukuh memberikan kita ruang untuk bergerak lebih jauh, tetapi ruang tersebut perlu dimanfaatkan dengan strategi yang tepat.
“Kita perlu terus memperkukuh kedudukan fiskal, memastikan pertumbuhan kekal inklusif dan pada masa sama mempercepatkan perubahan struktur ekonomi kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.Kita juga perlu melihat melangkaui angka pertumbuhan tahunan.
“Persoalan yang lebih besar, apakah jenis industri yang mahu kita bina, apakah jenis pekerjaan yang mahu kita wujudkan dan apakah kemahiran yang mahu kita kuasai sebagai sebuah negara. Belanjawan yang baik bukan sekadar menjawab keperluan hari ini. Belanjawan yang baik membina keupayaan negara untuk menghadapi cabaran hari esok,” katanya.







