
CYBERJAYA – Sebanyak 1,196 tapak selular di lapan daerah di Pantai Timur Sabah dilaporkan terjejas susulan insiden runtuhan menara penghantaran T313 milik SE yang berlaku pada pagi Khamis.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyelaras usaha pemulihan perkhidmatan telekomunikasi di Pantai Timur Sabah dengan kerjasama Sabah Electricity (SE) serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
“Insiden runtuhan menara penghantaran T313 milik SE pagi ini memutuskan dua litar penghantaran dan mengganggu bekalan elektrik daripada grid SE ke kawasan terlibat.
“Setakat pukul 12.52 tengah hari, jumlah tapak selular terjejas ialah 1,196 berdasarkan kiraan berasingan bagi setiap penyedia perkhidmatan.
“Gangguan melibatkan lapan daerah, iaitu Telupid, Sandakan, Beluran, Tawau, Semporna, Kunak, Kinabatangan dan Lahad Datu.
“Perkhidmatan talian tetap
turut terjejas di kawasan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan itu, pada Khamis.
Menurut MCMC, penjana dan bateri digunakan sebagai sumber kuasa sementara di tapak selular yang terputus bekalan elektrik daripada grid SE.
“Penyedia perkhidmatan sedang menggerakkan penjana bergerak dan menyelaras perkongsian penjana secara berperingkat di 20 lokasi keutamaan, termasuk tapak yang menghubungkan beberapa tapak lain ke rangkaian utama,” jelasnya.
Dalam pada itu, MCMC turut menyediakan sambungan satelit Starlink di 18 lokasi kritikal bagi memastikan komunikasi pasukan di lapangan dapat diteruskan dan membantu penyelarasan kerja pemulihan bekalan elektrik.
“MCMC akan terus memantau status rangkaian dan menyelaras keutamaan pemulihan bersama SE dan penyedia perkhidmatan bagi mengurangkan kesan gangguan kepada orang ramai,” ujar kenyataan itu.
Tambah MCMC, SE akan berkongsi jadual catuan bekalan elektrik bagi kawasan terjejas untuk membantu penyelarasan kerja pemulihan.


