Fadzli Mohamad Kamal
KUANTAN – Kerajaan Pahang akan memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian yang semakin membimbangkan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, ketagihan judi dalam talian bukan sahaja menjejaskan remaja, malah berpotensi merosakkan institusi keluarga apabila individu terjebak dalam masalah hutang termasuk dengan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long.
“Kegiatan itu boleh menyebabkan keruntuhan rumah tangga dan tekanan mental yang serius,” katanya, lapor Malaysia Gazette.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Fadzli berkata, bagi tempoh Januari hingga September 2026, PDRM melaksanakan 83 serbuan di seluruh Pahang yang membawa kepada penahanan 91 individu serta rampasan 119 barangan, termasuk wang tunai RM18,537.
Sebanyak 100 permohonan sekatan laman sesawang turut dikemukakan kepada MCMC, manakala tindakan pemotongan bekalan elektrik dan pembatalan lesen dilaksanakan terhadap 24 premis yang dikenal pasti terbabit dengan kegiatan perjudian dalam talian.
“Kerjasama antara agensi akan terus diperkukuh menerusi penguatkuasaan, pemantauan dan tindakan pelesenan bagi memastikan kegiatan perjudian haram dapat dibanteras secara lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya.


