
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030 yang menetapkan hala tuju strategik negara dalam memperkukuh keselamatan serta mempertahankan kedaulatan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata, dasar baharu itu mengambil kira perubahan landskap geopolitik dunia serta ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional yang semakin kompleks, sekali gus memerlukan persediaan lebih menyeluruh.
“Dasar keselamatan negara ini mengambil kira pandangan dasar yang lalu tetapi saya rasa kekuatannya ialah dapat menjangka dan cuba menangani permasalahan dan cabaran baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran DKN 2026-2030 pada Khamis.
Beliau berkata, perkembangan ancaman siber dan penggunaan teknologi baharu menuntut negara meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta membangunkan keupayaan yang bersesuaian dengan persekitaran keselamatan semasa.
Katanya, ancaman keselamatan kini bukan hanya melibatkan konflik antara negara, malah turut merangkumi serangan terhadap sistem kewangan, pertahanan dan infrastruktur kritikal negara.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan kerangka dasar keselamatan bagi tempoh lima tahun perlu dikaji secara berterusan supaya kekal relevan dengan perubahan bentuk ancaman.
“Kalau dulu kita boleh sediakan satu kerangka dasar untuk lima tahun, 10 tahun. Sekarang kerangka itu masih wajar dipertahankan untuk lima tahun tetapi harus dikaji setiap masa,” katanya.
Beliau turut berpandangan kementerian berkaitan perlu meneliti keperluan mewujudkan unit baharu bagi meningkatkan keupayaan negara, khususnya dalam bidang keselamatan siber, selain memperkukuh penyelarasan antara agensi.
Katanya, usaha itu perlu disokong kepakaran dan kemahiran khusus, termasuk menyediakan pendedahan serta latihan pengkhususan kepada pegawai muda di institusi terbaik dunia.
DKN 2026-2030 merupakan kesinambungan kepada DKN 2021-2025 yang berteraskan konsep Keselamatan Menyeluruh (COMSEC).
Menerusi dasar baharu itu, sembilan Nilai Teras Keselamatan Negara dalam dasar terdahulu disusun semula kepada 10 Bidang Tumpuan Strategik (BTS).
Antara penambahbaikan utama ialah pengenalan bidang tumpuan Keselamatan Siber dan Teknologi susulan peningkatan penggunaan platform dalam talian dalam kehidupan harian, termasuk urusan pembayaran bil dan perbankan.
Dasar berkenaan turut menggariskan 30 strategi bagi menangani 53 isu, cabaran dan ancaman keselamatan yang telah dikenal pasti.
Kerajaan juga akan menggunakan Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) untuk mengukur tahap keselamatan negara serta mengesan risiko lebih awal bagi membolehkan agensi berkaitan melaksanakan langkah pencegahan dan tindakan segera.
Pelaksanaan dasar itu akan diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan, sektor swasta serta masyarakat menerusi pendekatan Keseluruhan Kerajaan dan Keseluruhan Masyarakat.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pengarah MKN, Raja Nushirwan Zainal Abidin.


