
KUALA LUMPUR – Malaysia berdepan cadangan pengenaan tarif tambahan sehingga 18 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) susulan dakwaan Washington bahawa dasar perindustrian dan amalan pembuatan negara menyumbang kepada lebihan kapasiti serta pengeluaran berstruktur yang menjejaskan perdagangan AS.
Malaysia merupakan antara 14 ekonomi yang menjadi sasaran cadangan tindakan perdagangan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, dengan kadar tarif utama dicadangkan antara 15 hingga 35 peratus.
Ekonomi lain yang turut terlibat termasuk China, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU).
Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, hasil siasatan mendapati strategi perindustrian yang diamalkan beberapa rakan dagang telah mewujudkan persaingan tidak adil kepada pengeluar Amerika.
Menurutnya, strategi berkenaan merangkumi penumpuan terhadap sektor pembuatan, pengekangan gaji dan tenaga kerja, sokongan kewangan serta penggunaan input daripada ekonomi bukan pasaran yang didakwa memesongkan persaingan perdagangan.
“Selama beberapa dekad, banyak rakan dagang kita telah mengguna pakai strategi perindustrian yang berteraskan penyasaran sektor pembuatan, pengekangan gaji dan buruh, sokongan kewangan dan sokongan lain, input daripada ekonomi bukan pasaran serta amalan lain yang memesongkan pasaran sehingga imbangan perdagangan memihak kepada mereka, di samping menghakis asas sektor pembuatan Amerika,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dapatan Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) terhadap Malaysia tertumpu kepada empat bidang utama, iaitu rancangan perindustrian dan sektoral untuk mengembangkan sektor pembuatan serta eksport, pembiayaan keutamaan menerusi program pembiayaan nasional, tindakan yang didakwa tidak mencukupi bagi menangani lebihan kapasiti berkaitan import dan pelaburan asing daripada ekonomi bukan pasaran serta perlindungan buruh yang dianggap tidak memadai.
Laporan itu turut mengenal pasti sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta automotif sebagai bidang yang menimbulkan kebimbangan khusus kepada Washington.
Menurut USTR, dasar berkenaan berpotensi mengurangkan peluang komersial pengeluar dan pengeksport AS di Malaysia serta pasaran lain.
USTR menjelaskan kadar yang dicadangkan itu mengambil kira tarif sedia ada di bawah Seksyen 301 dan 232, rundingan yang masih berlangsung dengan Malaysia serta komitmen negara di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS-Malaysia.

Bagaimanapun, Washington turut mencadangkan kadar tarif sehingga 25 peratus, selepas mengambil kira penolakan tarif sedia ada di bawah Seksyen 301, sekiranya rundingan dan komitmen perdagangan timbal balik yang sedang berlangsung didapati tidak memuaskan.
Greer berkata, tindakan dicadangkan itu bertujuan menangani amalan perdagangan yang dianggap tidak adil oleh Washington, selain memperkukuh daya saing pengeluar Amerika.
Beliau turut menyatakan bahawa isu lebihan kapasiti dan pengeluaran berstruktur sudah lama menjadi kebimbangan pemimpin dunia, termasuk Donald Trump, Joe Biden, Xi Jinping dan Emmanuel Macron sejak 2016.
Sementara itu, USTR mengakui Malaysia mempertahankan pendirian bahawa negara tidak menyumbang kepada lebihan kapasiti berstruktur dan mengamalkan sistem perdagangan berasaskan peraturan.
Kerajaan Malaysia turut menegaskan ekosistem pembuatan negara memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global, termasuk bagi industri di AS.
Malaysia juga berpandangan model ekonominya berasaskan pasaran dan responsif terhadap permintaan global, manakala eksport negara melengkapi, bukannya bersaing dengan pengeluaran domestik AS.
Menurut notis berkenaan, siasatan terhadap Malaysia dimulakan pada 11 Mac 2026 sebelum USTR mengadakan rundingan dua hala dengan kerajaan Malaysia pada 12 Mei lalu.
Bagaimanapun, rundingan tersebut gagal menyelesaikan kebimbangan yang dibangkitkan Washington.
Pihak berkepentingan diberi sehingga 5 Januari 2027 untuk mengemukakan ulasan bertulis serta permohonan menyertai sesi pendengaran awam yang dijadualkan bermula 25 Januari 2027 di Washington.



