
PUTRJAYA – Malaysia dijangka terus menjadi antara pasaran utama tawaran awam permulaan (IPO) di Asia Tenggara pada 2027, disokong saluran penyenaraian yang kukuh, aktiviti berterusan di Pasaran ACE Bursa Malaysia serta peningkatan minat pelabur terhadap syarikat berkualiti tinggi.
Ketua Perkhidmatan Pasaran Modal Deloitte Asia Tenggara, Tay Hwee Ling berkata, prospek pasaran IPO serantau dijangka kekal positif tahun depan, meskipun ketidaktentuan makroekonomi, geopolitik dan pasaran berpotensi mempengaruhi masa serta skala penyenaraian baharu.
“Malaysia dijangka terus memainkan peranan penting dalam pasaran IPO serantau, manakala Singapura berpotensi meningkatkan kecairan pasaran, penyertaan pelabur dan peluang penyenaraian rentas sempadan menerusi pembaharuan pasaran yang sedang dilaksanakan.
“Pasaran IPO Asia Tenggara menunjukkan daya tahan di sebalik keadaan pasaran yang tidak sekata pada 2026.
“Ini disokong urus niaga utama di Malaysia dan Singapura, aktiviti penyenaraian baharu di Vietnam serta minat berterusan dalam sektor teknologi, penjagaan kesihatan dan pengguna,” katanya pada Sidang Media IPO Asia Tenggara Deloitte 2026 secara maya, pada Selasa.
Di Malaysia, sebanyak 57 IPO direkodkan dalam tempoh 10 bulan setengah pertama 2026 dengan kutipan dana kira-kira AS$1.8 bilion (RM7.41 bilion), berbanding 59 IPO sepanjang 2025.
Sementara itu, Rakan Kongsi Perkhidmatan Pasaran Modal Deloitte Malaysia, Wong Kar Choon berkata, pencapaian itu mencerminkan daya tahan pasaran modal negara yang berjaya mengekalkan momentum sejak tahun lalu, selain menunjukkan perubahan dari segi skala dan komposisi syarikat yang memasuki pasaran saham.
Beliau memaklumkan, peningkatan nilai kutipan dana meskipun jumlah IPO berkurangan menunjukkan pasaran semakin tertumpu kepada penyenaraian berskala besar dan syarikat berkualiti tinggi, berbanding jumlah penyenaraian semata-mata.
“Saiz purata urus niaga IPO di Malaysia bagi tahun kewangan ini mencecah kira-kira AS$31 juta (RM127.7 juta), meningkat 29 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Peningkatan itu didorong kemunculan IPO berskala besar, sumbangan lebih tinggi daripada syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama serta peralihan kepada penyenaraian syarikat berkualiti tinggi.
“Pada masa sama, permodalan pasaran IPO Malaysia meningkat kepada AS$9.72 bilion (RM40 bilion) pada 2026 berbanding AS$5.61 bilion (RM23.1 bilion) pada 2025, mencerminkan peningkatan nilai syarikat yang memasuki pasaran modal negara,” katanya.
Berdasarkan laporan Pasaran Modal IPO Asia Tenggara Deloitte, Malaysia mencatatkan jumlah IPO tertinggi di rantau ini dengan 57 penyenaraian, mewakili kira-kira 64 peratus daripada keseluruhan 89 IPO di enam pasaran utama Asia Tenggara.
Singapura merekodkan 11 IPO, diikuti Vietnam dan Indonesia masing-masing tujuh penyenaraian, Thailand lima serta Filipina dua dalam tempoh sama.



