
KEPUTUSAN PKR Sarawak untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dibuat bagi menghormati semangat kerjasama erat dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), bukannya tanda tunduk kepada gabungan itu.
Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu ketika menolak dakwaan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen bahawa beliau dan PKR mengalah kepada GPS menerusi keputusan berkenaan.
“Kita kerjasama (dengan GPS) bukan tunduk,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Keselamatan Negara 2026-2030 di ibu negara pada Rabu.
Terdahulu, PKR Sarawak mengumumkan keputusan untuk tidak meletakkan calon pada PRN kali ini sebagai tanda menghormati semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Keputusan itu turut mengambil kira kepentingan mengekalkan kestabilan politik serta memastikan kelancaran pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bagaimanapun, Chong sebelum ini mendakwa keputusan PKR berkenaan seolah-olah mengorbankan prinsip demokrasi di Sarawak sebagai pertukaran kepada sokongan berterusan GPS terhadap Kerajaan Persekutuan.


