
TAWAU – Masalah hubungan rumah tangga dipercayai menjadi punca kejadian tragis apabila seorang suami disyaki membunuh isterinya dalam kejadian di sebuah rumah pekerja Ladang Felda Umas 6, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.55 petang.
“Mangsa warga Indonesia berumur 37 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di rumah berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan kira-kira pukul 8.16 malam.
“Susulan kejadian itu, polis kemudian menahan seorang lelaki warga Indonesia berumur 38 tahun yang merupakan suami mangsa,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala, leher dan tangan mangsa manakala suspek cedera di bahagian leher selepas mengelar lehernya sendiri menggunakan sebilah sabit.
“Suspek kini menerima rawatan di Hospital Tawau.
“Siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hubungan rumah tangga selepas mereka kembali daripada bercuti.
“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Polis turut merampas beberapa barang kes termasuk sebilah sabit dan sebatang kayu untuk tindakan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
“Polis masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan forensik, analisis DNA, laporan perubatan dan bedah siasat bagi melengkapkan siasatan.
“Sebarang pengakuan awal suspek masih tertakluk kepada pengesahan melalui bukti-bukti lain yang diperoleh sepanjang siasatan,” jelasnya.
Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, IPD Tawau, ASP Maliki bMajuni di talian 017-898 9171 atau mana-mana balai polis berhampiran.








