
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 diluluskan Dewan Rakyat pada Khamis menerusi undian suara selepas mendapat lebih banyak suara bersetuju.
Kelulusan itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor selepas RUU berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Belanjawan 2027 sebelum ini dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu.
Bertemakan Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi, belanjawan kelima di bawah Kerajaan MADANI itu menggariskan lapan lunas utama yang merangkumi usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi serta menjamin masa depan negara.

Belanjawan berkenaan melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM459.8 bilion, selain RM25 bilion pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion menerusi pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion daripada Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Secara keseluruhan, jumlah peruntukan dan pelaburan yang digariskan menerusi Belanjawan 2027 mencecah RM510 bilion, sekali gus meneruskan pendekatan dasar fiskal mengembang kerajaan.
Persidangan Dewan Rakyat akan bersambung pada Isnin.



