
SANDAKAN – Maritim Malaysia merekodkan nilai rampasan melebihi RM121 juta hasil operasi penguatkuasaan di perairan Sabah sehingga 18 September lalu.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, dalam tempoh sama, lebih 51,000 pemeriksaan dan 18,000 penggeledahan dilaksanakan dengan 185 individu ditahan.
“Antara kejayaan terbesar direkodkan ialah penahanan ribuan peti rokok dalam operasi membanteras kegiatan penyeludupan di Tawau.
“Maritim Malaysia mempunyai tiga peranan utama iaitu menjaga kedaulatan negara, menguatkuasakan undang-undang serta melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT),” ujarnya kepada media selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di SK Tanjong Pisau, Lalasun, di sini, pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Rosli berkata, sebanyak 21 kes CARILAMAT dikendalikan di Sabah membabitkan 48 mangsa.
“Daripada jumlah itu, 46 mangsa berjaya diselamatkan, manakala seorang masih hilang dan seorang lagi meninggal dunia.
Sehubungan itu, katanya, pendidikan mengenai keselamatan di laut terutama pemakaian jaket keselamatan perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat, khususnya komuniti yang menjalankan aktiviti di laut.
“Dengan adanya pemakaian jaket keselamatan dan pendidikan kepada masyarakat, kita dapat mengurangkan korban apabila berlaku insiden di laut.
“Dalam banyak keadaan operasi CARILAMAT, mereka yang dapat bertahan lebih lama di laut ialah mereka yang memakai jaket keselamatan,” katanya.








