Amizar Abu Adam
KUANTAN – Kerajaan Pahang memperuntukkan RM26.2 juta bagi tahun 2027 untuk memperkukuh pembangunan komuniti FELDA, gerakan koperasi dan sektor keusahawanan.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, peruntukan itu meliputi RM7 juta bagi FELDA, RM1.2 juta untuk koperasi dan RM18 juta bagi pembangunan usahawan.
“Komitmen kerajaan negeri ini dapat dilihat melalui peruntukan utama di bawah tiga portfolio saya,” katanya, lapor Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Bagi FELDA, Amizar berkata, peruntukan Sekretariat Muafakat FELDA meningkat daripada RM5 juta kepada RM7 juta.
Bagi koperasi, RM1 juta diperuntukkan untuk Pemerkasaan Kariah Koperasi Masjid, meningkat daripada RM600,000, selain peruntukan baharu RM200,000 bagi penganjuran Hari Koperasi Negeri Pahang dan Majlis Apresiasi Koperasi Pahang 1st.
Bagi usahawan, peruntukan RM18 juta meliputi Program Promosi Usahawan RM1 juta, Geran Usahawan Inisiatif Bantuan Negeri Pahang RM5 juta, Expo Usahawan RM500,000, Program Pemantapan Usahawan Muda Pahang 1st RM5 juta, Program Usahawan Wanita Pahang 1st RM3 juta dan pemberian lesen perniagaan secara percuma kepada penjaja RM3.5 juta.
Mengulas geran hak milik peneroka FELDA, beliau berkata sebanyak 42,903 daripada keseluruhan 43,126 geran telah diserahkan, manakala baki 223 lagi masih dalam proses penyelesaian melibatkan isu pewarisan dan teknikal.
“Pihak kami menyasarkan penyelesaian penuh pada tahun 2026 ini, tertakluk kepada penyelesaian isu-isu pewarisan dan teknikal yang masih dalam pemerhatian,” katanya.
Beliau berkata, penyerahan baki 97 geran peneroka FELDA Tersang 2 sedang dirancang dalam masa terdekat selepas semua geran siap dicetak.
“Dengan penyerahan ini, bermakna semua peneroka FELDA Pahang telah menerima geran dan berbaki runcit seramai 126 peneroka di seluruh negeri masih lagi menunggu atas sebab kes pewarisan dan teknikal termasuk melibatkan kes mahkamah,” katanya.
Dalam sektor koperasi pula, Amizar berkata, gerakan koperasi di Pahang merekodkan perolehan RM1.13 bilion sehingga Disember 2025, meningkat lebih 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pencapaian itu melibatkan 1,211 koperasi dengan nilai aset RM1.73 bilion serta keanggotaan kira-kira 315,000 orang.


