
BELURAN – Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan merampas komponen Toyota Hilux yang dipercayai dicuri dalam tempoh kurang 24 jam selepas menerima laporan kejadian di sebuah hotel di Pekan Telupid.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 1.06 pagi, 21 September lalu.
“Siasatan mendapati kejadian membabitkan sebuah Toyota Hilux Single Cab milik lelaki tempatan berusia 22 tahun.
“Mangsa meletakkan kenderaannya di tempat letak kereta hotel berkenaan pada 20 September untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke Tambunan pada keesokan harinya,” kongsinya dalam kenyataan, pada Rabu.
Menurut Hasan, mangsa menyedari kejadian selepas mendapati kenderaannya gagal dihidupkan sebelum pemeriksaan mendapati komponen transfer shift actuator hilang.
“Kerugian akibat kejadian itu dianggarkan RM1,500.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mendapati terdapat sebuah kenderaan yang dipercayai milik suspek berada di lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya, hasil maklumat dan risikan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Beluran bersama Balai Polis Telupid yang diketuai Inspektor Indara berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun kira-kira jam 8.30 malam hari sama.
“Suspek kemudian membawa polis ke lokasi penyimpanan barang kes sebelum pihaknya merampas satu unit ‘transfer shift actuator‘ dan sebatang ‘ratchet handle socket‘ yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Polis masih menjalankan siasatan bagi melengkapkan kertas siasatan selain mengenal pasti kemungkinan penglibatan individu lain dalam kejadian tersebut,” jelasnya.
Tambahnya lagi, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat serta mempunyai ciri keselamatan yang bersesuaian.






