
NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berpandangan perkembangan politik di Negeri Sembilan ketika ini mencerminkan krisis kepercayaan yang semakin serius antara kerajaan negeri, institusi raja dan perkhidmatan awam.
Menurut beliau, keadaan itu tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai perbezaan pandangan antara kerajaan negeri dengan institusi raja, sebaliknya memerlukan perhatian serius bagi memastikan pentadbiran negeri terus berjalan dengan baik.
Beliau berkata, kenyataan berhubung pembatalan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kerana didakwa memungkiri sumpah jawatan, yang dikatakan bercanggah dengan pendirian Menteri Besar bahawa Exco berkenaan masih sah dan akan terus menjalankan tugas, menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.
“Bagaimana sebuah kerajaan hendak berjalan dengan baik apabila dua pihak yang sepatutnya berada dalam satu sistem pentadbiran sudah memberikan pendirian yang bertentangan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz turut membangkitkan perkembangan berkaitan penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang didakwanya menambah ketegangan antara kepimpinan kerajaan negeri dengan institusi perkhidmatan awam.
Katanya, persoalan utama ketika ini bukan mengenai pihak yang lebih berkuasa, sebaliknya siapa yang masih mempunyai kepercayaan untuk memastikan pentadbiran negeri dapat berfungsi dengan baik.
“Pegawai yang berkata ‘tidak’ apabila undang-undang berkata ‘tidak’, bukannya memusuhi kerajaan.
Mereka sedang menyelamatkan kerajaan daripada tersilap.
“Bila kepercayaan runtuh, kerajaan tidak boleh berjalan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata, Menteri Besar sepatutnya berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan institusi raja, perkhidmatan awam dan kerajaan negeri dalam kerangka sistem Raja Berperlembagaan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada Menteri Besar masih mempunyai ruang kepercayaan yang mencukupi untuk memainkan peranan tersebut apabila hubungan antara institusi berkenaan dikatakan semakin terhakis.
“Jambatan dibina untuk menghubungkan dua tebing. Kalau jambatan itu sendiri sudah dibakar, jangan pura-pura kata sungai masih boleh diseberangi seperti biasa.
“Kalau jambatan sudah retak, baiki. Jangan bakar jambatan,” katanya.
Mahfuz turut mengingatkan bahawa rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa kepada sebarang pertikaian kuasa atau krisis pentadbiran.
Katanya, rakyat Negeri Sembilan mengharapkan kerajaan memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, kesihatan, pelaburan serta pembangunan infrastruktur.
“Rakyat tidak memilih kerajaan untuk melihat siapa menang pertikaian.
Rakyat memilih kerajaan supaya negeri mereka dapat berjalan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan terhadap pegawai kanan kerajaan yang menjalankan fungsi semak dan imbang juga perlu dijelaskan dengan sewajarnya kepada rakyat.
“Apabila SUK dan Penasihat Undang-Undang yang menjalankan fungsi semak dan imbang pula digantung, rakyat berhak bertanya, adakah kerajaan sedang membaiki jambatan, atau sedang membakar jambatan terakhir untuk kembali berdamai?” katanya.
Mengulas kedudukan Menteri Besar, Mahfuz berkata beliau perlu melakukan muhasabah politik secara serius berikutan keadaan hubungan antara Istana dengan kerajaan negeri yang didakwa semakin tegang.
Katanya, persoalan yang perlu dinilai bukan semata-mata sama ada Menteri Besar masih mempunyai kuasa dari sudut perundangan, tetapi sama ada beliau masih mempunyai ruang kepercayaan yang mencukupi untuk memainkan peranan sebagai penghubung antara kedua-dua institusi.
“Jika beliau merasakan masih mampu memulihkan hubungan tersebut, maka beliau perlu segera membina semula jambatan yang sudah dibakar.
“Tetapi jika kepercayaan sudah terlalu terhakis sehingga hubungan antara kedua-dua institusi tidak lagi dapat dipulihkan di bawah kepimpinannya, maka demi kepentingan Negeri Sembilan, beliau wajar mempertimbangkan pengunduran diri,” katanya.
Mahfuz berkata, langkah berkenaan bukan soal kalah atau menang, sebaliknya berkaitan keutamaan meletakkan kepentingan negeri mengatasi kedudukan individu.
“Jawatan boleh dipertahankan dengan kuasa. Tetapi kerajaan hanya boleh berjalan dengan kepercayaan.
“Negeri Sembilan tidak kekurangan kuasa. Negeri Sembilan sedang memerlukan semula kepercayaan,” katanya.


