
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah berhasrat melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, malah mampu memahami, menghasilkan penyelesaian kreatif, mencipta nilai dan membangunkan inovasi yang memenuhi keperluan serta keunikan negeri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penguasaan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Sabah perlu beralih daripada menjadi pengguna teknologi kepada pencipta teknologi yang mampu menghasilkan penyelesaian inovatif berdasarkan keperluan tempatan.
“Kita tidak boleh hanya sekadar melihat atau menjadi pengguna teknologi semata-mata. Kita perlu membangunkan generasi yang mampu memahami teknologi, menghasilkan penyelesaian, mencipta nilai dan membina inovasi yang sesuai dengan keunikan serta keperluan negeri kita sendiri.
“Sebab itu, kita mahu menukar senario daripada sekadar ‘pengguna teknologi’ kepada ‘pencipta teknologi,” ujarnya dalam kenyataan media, di sini, pada Rabu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk Rina Jainal.

Menurut Hajiji, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi, teknologi digital, bioteknologi, teknologi angkasa dan tenaga boleh baharu sedang mengubah cara manusia belajar, bekerja serta menjalankan perniagaan.
“Penguasaan STI penting bagi menyokong pelaksanaan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, termasuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang AI, teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi.
“Antaranya ialah pertanian pintar, keselamatan makanan, biodiversiti, tenaga hijau, pengurusan sumber air, kesihatan, teknologi marin, pelancongan berasaskan sains dan ekonomi digital.
“Sabah mempunyai kekuatan tersendiri melalui kekayaan biodiversiti, sumber semula jadi, kepelbagaian budaya dan potensi ekonomi yang luas, yang boleh diperkasakan menerusi penyelidikan serta inovasi.
“Kita tidak mahu rakyat Sabah ketinggalan dalam arus transformasi digital yang sedang mengubah landskap pekerjaan, pendidikan dan pembangunan ekonomi pada masa kini dan masa hadapan,” tegasnya.
Dalam pada itu Hajiji berkata, pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan pelaburan jangka panjang yang penting bagi mempersiapkan generasi akan datang menghadapi cabaran teknologi, termasuk perkembangan AI.
“Kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan, khususnya melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) serta UMS, perlu diperkukuh bagi memastikan agenda pembudayaan STI dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.
“Kerajaan akan membawa lebih banyak program ke sekolah dan komuniti, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman, supaya peluang mendapat pendedahan kepada sains dan teknologi tidak hanya tertumpu di bandar.
“Setiap usaha yang kita lakukan hari ini untuk mendekatkan generasi muda kepada STI merupakan satu pelaburan untuk masa depan Sabah,” jelasnya.
Hajiji turut berharap program berkenaan menjadi pencetus kepada pengukuhan jaringan kerjasama antara sekolah, universiti, agensi kerajaan, penyelidik, industri dan komuniti melalui pelbagai projek, latihan, pertandingan, bimbingan, penyelidikan bersama serta pemindahan ilmu.






