
KOTA KINABALU- Kerajaan Sabah mahu perkhidmatan kerajaan disampaikan secara proaktif dan terus kepada rakyat menerusi teknologi kerajaan (GovTech), bagi memudahkan urusan serta mengurangkan kerenah birokrasi.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pendekatan itu meletakkan pengalaman dan keperluan rakyat sebagai tumpuan utama, tanpa mereka perlu menunggu atau mencari sendiri perkhidmatan yang diperlukan.
“Sebaliknya, teknologi dimanfaatkan agar perkhidmatan kerajaan dapat sampai kepada rakyat secara terus, lancar dan mesra pengguna.
“Langkah ini penting bagi merapatkan jurang sosioekonomi serta memastikan manfaat pembangunan digital turut dinikmati rakyat di luar bandar dan pedalaman,” katanya dalam ucapan perasmian Seminar Digital@Sabah Edisi Ke-18 dan Digital Tamu 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.
Ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Menurut Hajiji, integrasi data dan sistem antara agensi kerajaan negeri dengan Persekutuan menjadi prasyarat untuk mewujudkan perkhidmatan yang pantas, mudah dan telus, selain mengatasi budaya kerja secara berasingan atau silo.
“Transformasi digital juga berperanan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di Sabah, sekali gus menarik pelaburan dan memajukan ekonomi negeri.
“Namun, harus kita ingat bahawa teknologi canggih hanyalah sebuah alat. GovTech tidak akan membawa makna tanpa perubahan sikap dan minda daripada para penjawat awam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan kecekapan, integriti dan empati penjawat awam menjadi penggerak utama dalam memastikan penggunaan teknologi benar-benar menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Sabah.




