
KUALA LUMPUR – Turkiye belum bersedia untuk menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia kerana negara itu kini sedang menanggung jumlah pelarian yang banyak dari negara lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri mendapat pengesahan daripada kerajaan Turkiye, dua hari lalu yang kini menanggung lebih empat juta pelarian dan menampung paling banyak pelarian di dunia.
“Malaysia seperti yang disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon dipertimbangkan untuk menyelesaikan sebahagian daripada masalah kita.
“Tetapi pihak Turkiye secara rasminya belum bersedia menimbangkannya atas alasan sedang menanggung lebih 4 juta pelarian dari Negara Teluk, Arab dan beberapa negara jiran,” katanya pada sesi pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Pada 20 November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, seramai 10,000 pelarian Rohingya bakal ditempat di Türkiye melalui satu program latihan kemahiran berstruktur.
Bagaimanapun hantaran berkenaan yang dibuat menerusi Facebook miliknya telah dipadamkan.
Mengulas mengenai kenyataan Zahid, Anwar berkata, kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri itu berdasarkan keputusan negara untuk mencari tempat di negara ketiga memandangkan Malaysia tidak boleh menampung jumlah pelarian yang ramai.
“Dalam konteks ini dengan maksud beliau untuk mendapat dokongan Turkiye, saya telah mendapatkan penjelasan langsung dari negara berkenaan dan Turkiye belum bersedia.
“Kita hormat keputusan Turkiye yang tidak bersedia dan saya tidak fikir perkara ini perlu dipanjangkan dan saya hormat keputusan Turkiye apatah lagi negara itu telah mengambil jutaan orang,’’ katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah yang menyifatkan kenyataan Zahid mengenai 10,000 pelarian Rohingya itu telah menjadikan Malaysia sebagai bahan lawak dunia.
“Macam mana TPM boleh mengeluarkan kenyataan itu, yang menyebabkan rakyat Turkiye marah dan adakah insiden ini memudaratkan hubungan kita dengan negara itu,’’ soalnya.


