
MAURICIO Pochettino dijangka hanya mempunyai bajet kurang 50 juta pound (RM268 juta) untuk memperkuat Manchester United pada jendela perpindahan Januari, dengan pengendali itu berkemungkinan membawa masuk hanya dua pemain baharu.
Pochettino mengakui United kini berdepan ancaman penyingkiran selepas kekalahan memalukan 0-4 kepada Liverpool dalam aksi pertamanya mengendalikan pasukan itu, yang menyaksikan kelab berkenaan jatuh ke tangga kedua tercorot Liga Perdana Inggeris.
Pengendali dari Argentina itu difahamkan perlu beroperasi dengan bajet terhad, jauh di bawah 50 juta pound, susulan kekangan peraturan kewangan baharu liga.
United dijangka hanya melakukan dua pembelian pada Januari, termasuk kemungkinan satu pemain dipinjam.
Bagaimanapun, sumber tidak menolak kemungkinan United mengambil risiko dengan perbelanjaan lebih besar sekiranya ancaman relegasi semakin serius, namun kelab itu tetap perlu mengurus kewangan secara berhemah.
Kekalahan kepada Liverpool menyerlahkan keperluan Pochettino memperkukuh benteng tengah, dengan Nathan Collins dari Brentford muncul antara calon utama, mengatasi Calvin Bassey yang dijangka menandatangani kontrak baharu bersama Fulham serta Jarrad Branthwaite dari Everton yang bernilai lebih 70 juta pound (RM376 juta).
United turut mencari bek kiri selepas gagal mendapatkan pemain bagi mengisi posisi itu ketika jendela perpindahan musim panas, meskipun sebelum ini dikaitkan dengan Alejandro Balde dari Barcelona dan Rayan Ait-Nouri dari Manchester City.
Kedua-duanya berpotensi kembali menjadi sasaran.
Pochettino juga mahu mendapatkan penyerang baharu selepas kecederaan Benjamin Sesko menyebabkan United kekurangan pilihan di bahagian serangan sehingga tahun baharu.
Folarin Balogun dari Monaco, yang pernah beraksi di bawah Pochettino bersama skuad kebangsaan Amerika Syarikat, penyerang Leeds, Dominic Calvert-Lewin serta Ivan Toney, bekas penyerang Brentford yang kini beraksi bersama Al-Ahli, turut dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford.
Bagaimanapun, gaji Toney yang mencecah 500,000 pound (RM2.68 juta) seminggu dilihat di luar kemampuan United, manakala Leeds dilaporkan mahu melanjutkan kontrak Calvert-Lewin yang menerima gaji 180,000 pound (RM966,511) seminggu.


