
KUALA LUMPUR – Sejumlah 6,803 rakyat Myanmar yang berada di Malaysia akan dihantar pulang ke negara asal pada Disember ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah itu, 1,500 rakyat Myanmar akan dibawa pulang pada 6 dan 7 Disember depan, menggunakan tiga kapal Angkatan laut yang sudah pun diluluskan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Selain itu, seramai 5,303 orang akan dibawa pulang menggunakan pesawat atas tanggungan kerajaan Myanmar. Setakat hari ini, 10,476 telah dibawa pulang atas kos Myanmar.
“Sebahagian besar dengan pesawat, termasuk 1,476 dengan kapal perang Myanmar yang mengambil rakyat Myanmar pada 29 September yang lalu,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen PH Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sekiranya adakah Malaysia berasa bersalah sekarang kerana telah menjemput Ketua Kerajaan Junta Myanmar ke Malaysia baru-baru ini.
Ia berikutan, pada 19 November 2026 Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda memutuskan bahawa Pasukan Keselamatan Myanmar telah membunuh beribu-ribu orang awam Rohingya di Myanmar.

Mengulas perkara itu, Anwar berkata, keputusan mengundang Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, ke Malaysia sebelum keputusan ICJ dibuat adalah sebahagian usaha menyelesaikan isu pelarian negara itu, termasuk menjamin kepulangan mereka secara selamat dan bermaruah.
Menurut beliau, langkah sedemikian dibuat berdasarkan keperluan mencari penyelesaian selepas usaha melalui negara ketiga dan membawa pulang pelarian secara mudah tidak membuahkan hasil.
“Dalam kes Myanmar, memang kita akui dan memang ada pelarian yang ramai di sini, mencecah hampir 200,000 orang yang ternyata sebahagiannya mangsa kekejaman rejim di Myanmar. Tapi permasalahan di sini Yang Berhormat, adalah bagaimana kita tangani masalah ini? Keputusan kita mengundang itu sebelum keputusan ICJ, yang itu pertama.
“Kita ada masalah dalam negara, dalam memutuskan dasar keutamaannya adalah memelihara kepentingan negara. Apakah dengan mengundang Presiden Myanmar ke Malaysia itu membantu menyelesaikan masalah negara? Jawapannya iya, kerana tidak berkesudahan mengharapkan negara ketiga tidak berhasil
“Pada masa sama, mengharapkan mereka dibawa pulang dengan mudah pun tidak berlaku. Jadi kita runding dan atas perundingan itu kita telah berjaya, selari dengan keputusan mahkamah antarabangsa iaitu menjamin Safe and Dignified Return. Itu istilah penghakiman mahkamah ICJ,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan, kerjasama yang diperoleh tidak pernah memadamkan prinsip, bantahan dan pendirian Malaysia seperti yang disuarakan sebelum ini selain mengekalkan mengekalkan Five-Point Consensus yang diterima pakai oleh semua negara ASEAN.
“Saya telah maklumkan kepada semua pimpinan ASEAN termasuk yang bersidang baru-baru ini di Manila, iaitu Malaysia masih kekal dengan Five-Point Consensus, masih kekal dengan pendirian kita prihatin terhadap penganiayaan terhadap beberapa kelompok etnik bukan saja Rohingya, tetapi kumpulan etnik lain tetapi kita mahu ada penyelesaian.
“Apakah jaminan keselamatan mereka? Saya kata oleh kerana keputusan mahkamah jenayah antarabangsa itu Safe and Dignified Return, itu pengangkuan diberikan. Setakat ini belum ada kes daripada 10,476 itu yang menerima apa-apa bentuk tekanan sepertimana yang dipantau oleh risikan Malaysia,” katanya.

