
SANDAKAN — Hubungan erat antara pengamal media dan pemimpin masyarakat penting bagi memastikan maklumat berkaitan pembangunan, kebajikan serta kepentingan rakyat dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila Datuk Hazem Mubarak Tun Musa berkata, Program Sukan Muhibbah Hari Malaysia 2026 menjadi platform memperkukuh hubungan itu serta membina persefahaman antara kedua-dua pihak.
“Media merupakan rakan strategik yang penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Dalam semangat Hari Malaysia, kita juga mahu melihat masyarakat terus bersatu tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam teks ucapan sempena majlis penutupan program itu di YS Futsal, Batu 8, di sini pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian.
Dalam pada itu, Hazem berkata, semangat kesukanan, persahabatan dan pengalaman sepanjang pertandingan lebih penting daripada kemenangan, selain penyertaan dalam aktiviti sukan dapat memupuk kerjasama, disiplin, toleransi serta sikap saling menghormati.
Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sungai Manila Rahmat Iskandar Ibrahim mencadangkan supaya program seumpama itu diteruskan dengan penglibatan lebih banyak agensi dalam pelbagai aktiviti sukan.

Program anjuran Persatuan Media Sandakan, Sabah (PEMASSA) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Sungai Manila itu membabitkan pertandingan futsal dan boling antara pengamal media dengan wakil pusat khidmat berkenaan.
Program berkenaan turut disertai oleh Ketua Pemuda PGRS Libaran Wafi Kasim dan Ketua Beliawanis Libaran Ni Matul Najibah Hairum, selain pengamal media serta kakitangan Pusat Khidmat Rakyat Sungai Manila.


