
SANDAKAN – Fius yang difahamkan tidak pernah diganti sejak lebih 30 tahun lalu dikenal pasti menjadi punca gangguan bekalan elektrik di sebuah blok kediaman di Sri Taman di sini, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, beliau terus ke kawasan berkenaan sejurus tiba di Sandakan bagi meninjau aduan gangguan bekalan elektrik yang disuarakan penduduk.
“Kami memahami betapa sukarnya penduduk apabila terpaksa melalui satu malam tanpa bekalan elektrik.
“Rumah menjadi panas, makanan di dalam peti sejuk berisiko rosak dan keluarga terpaksa bergelap,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, susulan aduan yang disampaikan melalui Pegawai Perhubungan Sri Taman, Asrul Abdul Samat tindakan segera telah diambil.
“Fius yang terbakar berjaya digantikan dan bekalan elektrik kini telah pulih.
“Terima kasih kepada penduduk yang tampil menyuarakan masalah dan semua pihak yang membantu menyelesaikannya,” ujarnya.
Vivian berkata, aduan rakyat bukan perkara kecil dan pihaknya akan terus memberi perhatian kepada masalah setempat kerana keselesaan dan kesejahteraan penduduk perlu sentiasa diutamakan.



