UMNO dicabar supaya berhenti bermain ‘politik dua kolam’ dan berani mengisytiharkan secara rasmi pakatan politik dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) sekiranya benar kedua-dua gabungan itu sudah mencapai keserasian untuk menentang Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, UMNO tidak sepatutnya terus berada dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan pada masa sama menjalinkan kerjasama politik dengan PN bagi menewaskan PH.
Menyindir hubungan politik UMNO dan Pas, beliau menyifatkan kedua-dua parti itu seolah-olah pasangan yang kembali rujuk selepas beberapa kali melalui episod perpisahan dan permusuhan.
“Tahniah kepada BN dan PN atas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Tahniah juga kepada UMNO-BN dan Pas-PN yang nampaknya telah menemui semula jodoh politik dan mendirikan rumah tangga selepas beberapa kali nikah cerai dan rujuk.
“Dahulu bercerai dan bermusuh, saling menyerang serta berebut pengaruh. Hari ini kembali berpelukan kerana mempunyai musuh politik yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lebih pedas, Mahfuz menggunakan analogi ibadah untuk menyindir hubungan kedua-dua gabungan itu yang disifatkannya sudah melangkaui sekadar kerjasama biasa.
Katanya, jika BN dan PN sudah bersama-sama berusaha menewaskan PH di Melaka, mereka bukan sahaja perlu berwuduk di peti undi, malah perlu melakukan ‘mandi wajib’ dengan mengisytiharkan secara rasmi pakatan politik berkenaan.
“BN dan PN sudah berwuduk bersama di peti undi Melaka. Tetapi kalau hubungan politik itu sudah sampai ke tahap bersekongkol untuk menewaskan PH, jangan sekadar berwuduk. Mandi wajiblah!
“Eloklah mandi wajib ibarat pasangan selepas berjimak dan bersihkan segala keraguan dengan mengisytiharkan secara rasmi pakatan politik baharu antara BN dengan PN,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan kepimpinan UMNO yang seolah-olah menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan tindakan terhadap kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, UMNO mempunyai Presiden, Majlis Kerja Tertinggi dan barisan kepimpinan sendiri yang sepatutnya bertanggungjawab membuat keputusan berhubung hala tuju politik parti.
Beliau merujuk kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berhubung keputusan mengenai pembubaran, pemecatan atau penggantungan serta kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai pilihan yang dikemukakan parti itu.
“Sejak bila Perdana Menteri perlu membuat keputusan bagi pihak UMNO? Bukankah UMNO mempunyai Presiden, Majlis Tertinggi dan kepimpinan sendiri?
“UMNO yang memilih untuk bekerjasama dengan Pas dan PN.
UMNO yang membina persefahaman politik untuk menentang PH. Maka UMNO sendirilah yang mesti berani menentukan kedudukannya, bukannya menyerahkan beban keputusan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Mahfuz turut menyifatkan UMNO seperti tetamu yang masih menikmati kemudahan di rumah Kerajaan MADANI, tetapi pada masa sama didakwa bekerjasama dengan pihak lain untuk merobohkan rumah berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mencabar UMNO supaya membuat keputusan secara terbuka dan tidak terus mengekalkan kedudukan dalam kerajaan sekiranya sudah memilih haluan politik bersama PN.
“Kalau benar BN dan PN sudah menemui keserasian politik, silakan. Rasmi dan umumkan pakatan itu. Tetapi jangan mahu kedua-duanya sekali.
“Menjadi sebahagian daripada kerajaan yang dipimpin PH, sambil bekerjasama dengan gabungan yang berusaha menumbangkan PH,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar UMNO sama ada mahu memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan atau sekadar menjadikan kerajaan itu sebagai platform untuk terus menikmati kuasa sementara membina semula kerjasama dengan Pas dan PN.
“Menang di Melaka, jangan pula malu mengaku siapa kawan. Kalau sudah berpakatan, rasmi dan berterus teranglah.
“Jangan hanya berani berkahwin politik di negeri, tetapi masih mahu menyembunyikan hubungan di peringkat Persekutuan,” katanya.



