Kerusi PRN Melaka: Ada pertemuan antara Anwar dan Amirudin

PUTRAJAYA – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil mengesahkan pertemuan di antara pengarah pilihan raya gabungan itu, Datuk Seri Amirudin Shari dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada isu rundingan PH-Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan Amirudin dengan Anwar.

“Saya difahamkan mereka ada pertemuan semalam, tapi tidak dimaklumkan apa perbincangan.

“Memang ada (pertemuan) untuk pimpinan dalam masa sehari dua ini, banyak perjumpaan, mesyuarat, memang ada. Tapi sama ada itu salah satu topik, tidak dimaklumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sesi latihan Human Graphic sempena sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, pagi ini.

Terdahulu, Amirudin memberitahu, beliau belum mengadakan pertemuan diadakan dengan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, namun menjangkakan rundingan akan bergerak selepas perbincangannya dengan Anwar yang juga Pengerusi PH.

Pertemuan itu mendapat perhatian susulan spekulasi rundingan berhubung kemungkinan kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Baru-baru ini Anwar memaklumkan soal kerjasama politik dan strategi menghadapi pilihan raya akan dibincangkan pimpinan parti berkaitan.

Amirudin yang juga Naib Presiden PKR sebelum ini menjadi antara pimpinan yang berperanan dalam rundingan berkaitan strategi PH menghadapi pilihan raya negeri.

Minggu lalu, Anwar dilapor berkata, bahawa jawatankuasa pilihan raya PH akan membincangkan potensi kerjasama dengan BN bagi PRN Melaka.

Beliau berkata, jawatankuasa itu dipimpin Amirudin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan, PH sedang menilai semula model politik dan strateginya bagi menghadapi PRN Melaka.

Beliau berkata, pendekatan gabungan itu tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan sedia ada, sebaliknya perlu merangkul seluruh kekuatan bagi memastikan PH lebih bersedia menghadapi pilihan raya.

“Perkara itu selari dengan mesej Anwar pada Kongres PKR di Melaka baru-baru ini yang menekankan keperluan memperkukuh gabungan dengan mengambil kira semua kelompok dan kekuatan politik.

“Beliau memaklumkan kita perlu berusaha untuk bukan hanya mengambil semula otai-otai, orang-orang lama seperti Tian Chua, Dr Xavier dan ramai lagi, tapi juga kita perlu merangkul seluruh kekuatan. Jadi saya lihat ini salah satu strategi yang akan dimanfaatkan,” katanya.

Menurutnya, penilaian terhadap model PH itu penting bagi memastikan gabungan berkenaan mempunyai strategi lebih berkesan dalam menghadapi PRN akan datang.

“Pendekatan memperkukuh kekuatan sendiri itu turut selari dengan pendirian PH sebelum ini yang menegaskan gabungan berkenaan perlu memberi tumpuan kepada kekuatan sendiri dan tidak bergantung kepada kelemahan pihak lawan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pimpinan PH juga dijangka mengadakan perbincangan susulan beberapa perkara yang dibangkitkan dalam Kongres PKR dan Persidangan DAP, termasuk usaha mempercepatkan agenda reformasi.

Fahmi sebelum ini turut menegaskan PH mahu membawa pendekatan politik yang berasaskan dasar, rekod pencapaian dan tawaran kepada rakyat, bukannya sentimen kebencian atau perpecahan.

Related Posts

Tongkat Hadi laku RM16,500, masyarakat bimbang ketaksuban ahli Pas memuncak

PENJUALAN tongkat kayu kemuning milik Tan Sri Abdul Hadi Awang pada harga RM16,500 malam tadi mencetuskan kegusaran rakyat terhadap gejala taksub melampau kepada pemimpin Pas. Rata-rata risau budaya kultus pemimpin…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sabah, Sarawak semakin penting tentukan hala tuju PRU16 – Penganalisis 

SABAH dan Sarawak berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam menentukan pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), terutama sekiranya persaingan antara gabungan politik di Semenanjung berlangsung sengit. Ahli Majlis…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kajian tiga universiti sahkan impak positif PLKN 3.0

Kajian tiga universiti sahkan impak positif PLKN 3.0

Selangor juara SUKMA, 1 September diisytihar cuti peristiwa

Selangor juara SUKMA, 1 September diisytihar cuti peristiwa

FINAS perlu lebih cekap, tidak menyusahkan penggiat industri

FINAS perlu lebih cekap, tidak menyusahkan penggiat industri

MyFuture Policy Lab platform perkukuh kefahaman generasi muda

MyFuture Policy Lab platform perkukuh kefahaman generasi muda

PLKN 3.0 bakal diperluas, lebih banyak kem Askar Wataniah digunakan

PLKN 3.0 bakal diperluas, lebih banyak kem Askar Wataniah digunakan

Industri filem tempatan rekod pelaburan hampir RM1 bilion

Industri filem tempatan rekod pelaburan hampir RM1 bilion