
LUMUT – Cubaan dua vesel nelayan tempatan menjalankan aktiviti perikanan menggunakan peralatan terlarang terbongkar selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak dalam dua operasi berasingan di perairan Batu Tanjung Hantu, di sini.
Operasi yang dijalankan pada Sabtu dan Ahad itu membawa kepada penahanan lima kru termasuk dua tekong warga Malaysia, selain merampas keseluruhan 106 unit peralatan menangkap ikan jenis bubu naga.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel pertama ditahan kira-kira jam 2.12 pagi Ahad pada kedudukan 3.9 batu nautika barat laut Batu Tanjung Hantu.
Katanya, penahanan dilakukan ketika kapal Maritim Malaysia melaksanakan rondaan dan penguatkuasaan menerusi Op Sayong, Op Pintas, Op Khas Tanjung 2 dan Op Tiris di perairan Perak.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua kru termasuk tekong warga Malaysia berusia 24 dan 45 tahun berada di atas vesel berkenaan.
“Siasatan awal mendapati vesel itu disyaki melakukan beberapa pelanggaran syarat lesen perikanan di bawah Akta Perikanan 1985, termasuk tidak memiliki lesen perikanan yang sah serta menggunakan dan memiliki peralatan menangkap ikan yang dilarang iaitu bubu naga,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kedua-dua kru ditahan bersama 19 unit bubu naga sebelum vesel berkenaan diiringi ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan dan siasatan lanjut.
Dalam kes berasingan, sebuah lagi vesel nelayan tempatan ditahan kira-kira jam 2.58 pagi Sabtu pada kedudukan 3.4 batu nautika barat laut Batu Tanjung Hantu.
Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan membawa tiga kru termasuk tekong warga Malaysia berusia antara 38 hingga 42 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai lesen perikanan yang sah serta menggunakan dan memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan iaitu bubu naga,” katanya.

Dalam operasi itu, Maritim Malaysia merampas 87 unit bubu naga sebelum kesemua kru bersama vesel diiringi ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan selanjutnya.
Mohamad Shukri berkata, keseluruhannya sebanyak 106 unit bubu naga dirampas dalam kedua-dua kes terbabit.
Beliau menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara tidak disalahgunakan, selain memastikan aktiviti perikanan dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.




