PARTI Amanah Negara (Amanah) tidak bimbang akan kehilangan identiti atau ‘ditelan’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya cadangan pembentukan khemah besar politik direalisasikan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, meskipun kedua-dua parti menyasarkan kelompok pengundi Melayu, pendekatan, ideologi dan asas perjuangan masing-masing mempunyai perbezaan tersendiri.
Menurutnya, Amanah lebih menumpukan pendekatan politik berteraskan Islam, manakala Bersatu pula lebih cenderung kepada perjuangan berasaskan kepentingan kaum.
“Amanah membawa perjuangan yang berbeza dengan Bersatu.
“Walaupun ‘pasaran’ sama tetapi segmen berbeza iaitu Amanah cenderung kepada Islam manakala Bersatu cenderung kepada kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan kemungkinan Amanah kehilangan pengaruh sekiranya kerjasama politik lebih besar membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan parti di luar gabungan itu dibentuk.
Faiz turut menyifatkan tanggapan Amanah berisiko ‘ditelan’ Bersatu sebagai kurang meyakinkan memandangkan kedua-dua parti pernah bekerjasama dalam PH, termasuk ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Amanah ada pengalaman bersama dengan Bersatu, jadi pandangan Amanah boleh ‘ditelan’ kurang meyakinkan,” katanya.
Cadangan pembentukan khemah besar politik semakin mendapat perhatian ketika parti-parti politik mula memikirkan strategi untuk menghadapi persaingan PRU16, termasuk kemungkinan memperluas kerjasama melangkaui gabungan sedia ada.
Bagaimanapun, usaha itu bukan tanpa cabaran apabila penganalisis politik Universiti Malaya, Dr Tawfik Yaakub berpandangan kerjasama sedemikian berpotensi memberi tekanan kepada kedudukan Amanah.
Antara risiko yang dikenal pasti termasuk persaingan dalam pembahagian kerusi, pengaruh kepimpinan serta kedudukan parti dalam gabungan yang lebih besar sekiranya tiada persefahaman politik yang jelas.
Kebimbangan terhadap masa depan parti itu turut disuarakan Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah, Raja Kamarul Bahrin Shah yang sebelum ini membangkitkan persoalan mengenai kelangsungan parti ketika masih berusaha memperkukuh identiti politik sendiri.
Isu hala tuju perjuangan, politik berpuak serta keperluan pembaharuan kepimpinan turut menjadi antara cabaran yang perlu ditangani Amanah.
Mengulas lanjut, Faiz berpandangan cabaran terbesar parti itu bukan sekadar berkaitan kepimpinan, sebaliknya turut melibatkan peningkatan sentimen perkauman melampau serta kesan penyatuan undi Pas dan UMNO.
Justeru, katanya, Amanah perlu meneroka pendekatan dan strategi politik baharu, termasuk menjalinkan kerjasama dengan parti lain bagi memastikan kedudukan parti itu terus relevan.
Dalam masa sama, beliau mempertahankan kepimpinan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dengan menyifatkan rekod parti itu menyertai kerajaan dalam dua penggal pilihan raya sebagai bukti keupayaan kepimpinan berkenaan.
“Mohamad Sabu telah menunjukkan kemampuan sebagai presiden, dua kali pilihan raya, dua kali Amanah jadi kerajaan,” katanya.



