Nahas kemalangan maut: Tiga beranak dikebumikan satu liang lahad

KAMPAR – Kira-kira 300 ahli keluarga, penduduk kampung dan kenalan membanjiri Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu di sini, malam tadi bagi menyaksikan detik pilu tiga beranak yang maut dalam nahas di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi Rabu, disemadikan dalam satu liang lahad.

Suasana bertambah hiba apabila tiga van jenazah membawa jasad Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, tiba kira-kira jam 10.30 malam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, lori Isuzu ‘Black Maria’ milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit dipercayai memasuki persimpangan lampu isyarat Maju Junction ketika lampu merah, dengan lampu beacon dan siren diaktifkan.

Lori berkenaan kemudian bertembung dengan sebuah Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyaratnya berwarna hijau, menyebabkan kenderaan tugas rasmi itu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kenderaan Inokom Matrix yang berhenti di persimpangan berkenaan.

Dalam nahas itu, Shaik Mohd Firdaus bersama dua anaknya maut, manakala isterinya, Norhayati Razali, 55, cedera dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Linangan air mata mengiringi kepulangan tiga beranak itu apabila ahli keluarga dan kenalan berkumpul untuk memberikan penghormatan terakhir selepas kehilangan mereka dalam tragedi berkenaan.

Sebelum dibawa pulang ke Kampar, ketiga-tiga jenazah menjalani proses bedah siasat di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur sebelum dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Jamiul Ehsan, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Jenazah bekas anggota tentera bersama dua anaknya itu selamat dikebumikan kira-kira jam 11 malam dalam satu liang lahad.

Bacaan talkin dan doa dipimpin Imam Masjid Jamek Kampung Air Hitam Labu, Yusaini Ariffin.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris tiga beranak berkenaan.

Beliau turut mendoakan agar roh ketiga-tiga mangsa dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Saarani turut berharap seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan yang amat berat itu.

Related Posts

Dua keluarga tarik nafas lega, terima manfaat Rumah Kasih Ihsan

JELI – Dua keluarga di Jeli menerima manfaat menerusi inisiatif Rumah Kasih Ihsan yang dilaksanakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kelantan bagi membantu golongan memerlukan mendapatkan kediaman…

Lebih lanjut

teruskan membaca
59 kilometer jalan utama Kuala Lumpur dinaik taraf, kerja penurapan dibuat waktu malam

KUALA LUMPUR – Kerja penurapan semula bagi menaik taraf 59 kilometer jalan protokol dan utama di Kuala Lumpur dilaksanakan pada waktu malam bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya. Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Dua keluarga tarik nafas lega, terima manfaat Rumah Kasih Ihsan

Dua keluarga tarik nafas lega, terima manfaat Rumah Kasih Ihsan

59 kilometer jalan utama Kuala Lumpur dinaik taraf, kerja penurapan dibuat waktu malam

59 kilometer jalan utama Kuala Lumpur dinaik taraf, kerja penurapan dibuat waktu malam

Malaysia Berselawat himpun hampir 1,000 jemaah, tampilkan tokoh ulama dunia

Malaysia Berselawat himpun hampir 1,000 jemaah, tampilkan tokoh ulama dunia

Nahas kemalangan maut: Tiga beranak dikebumikan satu liang lahad

Nahas kemalangan maut: Tiga beranak dikebumikan satu liang lahad

Taktik penganggur cari pendapatan sampingan jual judi terbongkar

Taktik penganggur cari pendapatan sampingan jual judi terbongkar

JAIP sasar iktiraf Zon Halal di semua R&R tahun depan

JAIP sasar iktiraf Zon Halal di semua R&R tahun depan