
PUTRAJAYA – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyokong usaha kerajaan membanteras rasuah serta memperkukuh integriti dan tatakelola negara, termasuk melalui pengenalan instrumen perundangan lebih tegas bagi melindungi aset dan dana awam.
Setiausaha Agung Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, pihaknya mencadangkan supaya Akta Sabotaj Ekonomi Negara (ASEN) diperkenalkan bagi menangani kes rasuah berprofil tinggi dan berskala besar yang boleh memberi kesan terhadap kepentingan serta kestabilan ekonomi negara.
Katanya, cadangan itu turut merangkumi usaha memperkasakan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), khususnya bagi kes yang bukan sekadar rasuah biasa.
“Memang terdapat banyak kes rasuah, tetapi cadangan kami lebih tertumpu kepada kes berprofil tinggi dan berskala besar.
“Kita lihat pada hari ini, antara perkara yang menjadi kebimbangan utama ialah isu Tabung Haji, FELDA dan banyak lagi kes rasuah yang telah dilaporkan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum akta berkenaan bersama beberapa pimpinan parti di perkarangan pondok pengawal keselamatan Pejabat Perdana Menteri (PMO) di sini, hari ini.
Nasrul berkata, Putra turut mencadangkan individu yang disyaki melakukan kesalahan boleh ditahan sehingga 60 hari, walaupun belum didakwa, bagi membolehkan pihak penyiasat menjalankan siasatan secara menyeluruh, mengumpul bukti dan mendapatkan keterangan.
Menurutnya, cadangan itu penting bagi mengelakkan berlaku gangguan terhadap proses siasatan selepas individu yang disyaki dibebaskan.
“Seperti yang berlaku sekarang, seseorang yang disyaki akan dipanggil untuk memberikan keterangan sebelum dibebaskan. Dalam tempoh mereka dibebaskan itu, pelbagai perkara boleh berlaku.
“Mereka boleh mengubah bukti, melarikan diri, menjadi angkuh atau mempengaruhi saksi. Akhirnya, keterangan dan fakta asal boleh berubah,” katanya.
Beliau berkata, Putra mencadangkan hukuman penjara mandatori 20 tahun dikenakan bagi kesalahan di bawah akta berkenaan, berbanding hukuman sedia ada yang boleh dikenakan sehingga 20 tahun bergantung kepada keputusan hakim.
“Kalau terdapat kesalahan yang sama di bawah akta yang sama, tambahan 10 tahun boleh dikenakan, bergantung kepada jumlah kesalahan,” katanya.
Nasrul berkata selain hukuman penjara, Putra turut mencadangkan denda sehingga lima kali ganda daripada nilai yang terlibat, selain pengambilan semula semua aset yang diperoleh hasil kegiatan berkenaan.
“Yang paling berat ialah denda kerana ia melibatkan wang awam dan kepentingan rakyat. Denda tersebut boleh dikenakan sehingga lima kali ganda.
“Selain denda dan pengambilan semula semua aset yang diperoleh, kita mahu nilai tersebut dipulangkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, konsep sabotaj ekonomi yang dibawa Putra turut mengambil kira tindakan yang menjejaskan rantaian bekalan seperti menaikkan harga minyak masak dan beras.
Bagaimanapun, katanya, konteks utama cadangan Putra lebih tertumpu kepada aset, kewangan dan dana awam yang diuruskan kerajaan.
“Ini juga merupakan sebahagian daripada apa yang kami maksudkan sebagai sabotaj ekonomi negara, tetapi konteks kami lebih tertumpu kepada aset, kewangan dan dana awam yang diuruskan oleh kerajaan,” katanya.
Nasrul berkata, setakat ini tiada pihak yang secara rasmi menolak atau menerima cadangan berkenaan, namun Putra berharap kerajaan dapat melihatnya sebagai salah satu instrumen bagi menangani rasuah dan melindungi kestabilan ekonomi negara.
“Kami berharap kerajaan yang kami percaya, dan yang setiap hari kita dengar benar-benar mahu memerangi rasuah, dapat melihat hukuman ini sebagai salah satu instrumen yang boleh digunakan untuk menangani rasuah dan pada masa sama melindungi kestabilan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, Putra turut menyokong usaha kerajaan dan SPRM dalam membanteras rasuah, namun langkah berkenaan perlu diterjemahkan melalui instrumen yang jelas dan bukan sekadar retorik politik.
“Selagi usaha ini benar-benar dilaksanakan dan bukan sekadar retorik politik, kerana kita tahu apa sahaja yang dilakukan dalam politik tetap mempunyai unsur politik, kami mencadangkan supaya ia tidak berakhir sebagai retorik semata-mata.
“Kita perlu menyediakan instrumen yang jelas supaya kerajaan boleh menggunakannya untuk menangani kes rasuah, melindungi wang awam dan seterusnya menyelamatkan ekonomi negara,” katanya.
Tambahnya, penyelewengan aset negara bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah menyebabkan wang yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan kemudahan awam tidak dapat dimanfaatkan rakyat.
“Apabila aset negara diseleweng, kita kehilangan wang yang sepatutnya boleh digunakan untuk membina hospital, sekolah, institusi awam dan pelbagai kemudahan lain.
“Bagi kami, ini adalah perkara yang betul. Memerangi rasuah adalah perkara yang betul,” katanya.
Beliau turut menegaskan Putra bukan parti kerajaan mahupun pembangkang dan mengambil pendekatan seimbang dalam melihat perkara yang berkaitan kepentingan negara.
“Kami daripada parti Putra bukan parti kerajaan dan bukan juga parti pembangkang. Kami cuba memainkan peranan sebagai pihak yang seimbang dalam melihat perkara-perkara penting seperti ini,” katanya.




