
SEREMBAN – Dakwaan bahawa Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) di FELDA Pasoh 3, Simpang Pertang, Jempol di sini, terbengkalai semata-mata akibat pertukaran kerajaan pada 2018 disangkal oleh seorang individu yang mendakwa merupakan jurutera syarikat kontraktor utama.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Muhammad Sazali Nasriq Md Nor berkata, orang ramai tidak seharusnya membuat kesimpulan atau menuding jari kepada mana-mana pihak tanpa terlebih dahulu menyemak fakta sebenar di sebalik kelewatan projek itu.
Beliau mendakwa terlibat sebagai jurutera di bawah syarikat kontraktor utama yang membangunkan projek PGBF di FELDA Pasoh 2 dan FELDA Pasoh 3, selain memaklumkan pengurus tapak ketika itu, dikenali sebagai Mr Chong, turut memainkan peranan penting dalam usaha menyiapkan pembangunan perumahan berkenaan.
“Saya tahu apa masalah sebenar yang berlaku. Jangan cakap lepas tukar kerajaan terus projek terbengkalai. Belajarlah cari data dan ilmu dahulu.
“Saya merupakan jurutera projek itu. Mr Chong pula adalah pengurus tapak yang membantu menyelesaikan pembangunan rumah-rumah tersebut.
“Jadi saya harap semak betul-betul apa yang berlaku. Kami sebagai pekerja amat sedih apabila kerja terbengkalai selepas hampir dua tahun bertungkus-lumus di tapak projek,” bidasnya di ruangan komen.

Menurut beliau, isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah kekangan kewangan yang berlaku ketika itu dan bukannya sekadar menyalahkan perubahan pentadbiran kerajaan.
Beliau turut menggesa semua pihak membuat penelitian terhadap punca sebenar kelewatan projek, termasuk mendapatkan penjelasan daripada kontraktor utama yang mengendalikan pembinaannya.
“Jangan menuding sana sini. Belajarlah semak punca sebenar. Dalam kejuruteraan, kita analisis sehingga ke akar masalah sebelum membuat kesimpulan.
“Pergilah semak siapa kontraktor utama projek itu dan tanya sendiri apa masalah utamanya. Jangan terus membuat tuduhan,” katanya lagi.

Terdahulu, tular satu video diterbitkan UMNO Online yang meninjau projek PGBF di FELDA Pasoh 3, Negeri Sembilan, yang didakwa terbengkalai selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Dalam video berkenaan, individu yang ditemu bual mendakwa projek yang dibiayai menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan itu tergendala selama lapan tahun selepas pertukaran kerajaan, selain mengaitkan keadaan tersebut dengan pentadbiran ketika Menteri Kewangan disandang wakil DAP.
Mereka turut merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya turun padang meninjau sendiri projek berkenaan serta membantu memastikan pembinaannya dapat diteruskan sehingga siap untuk diduduki.
Tambah Muhammad Sazali Nasriq, kelewatan pembinaan tidak wajar disandarkan kepada faktor politik semata-mata, sebaliknya perlu diteliti berdasarkan fakta dan punca sebenar yang berlaku di peringkat pelaksanaan projek.



