
HASRAT Pas untuk bertanding sehingga 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kini menjadi bahan sindiran apabila parti itu akhirnya hanya meletakkan calon di dua kerusi.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyifatkan perkembangan itu sebagai tamparan terhadap dakwaan Pas yang sebelum ini sering menggambarkan dirinya sebagai parti berpengaruh dan mampu bergerak secara bersendirian.
Beliau secara sinis mempersoalkan ke mana hilangnya kekuatan Pas sehingga parti itu akhirnya terpaksa berpuas hati dengan hanya dua kerusi selepas pada awalnya dikatakan mengintai sehingga 16 kerusi.
Menurutnya, keadaan tersebut memperlihatkan jurang besar antara keyakinan yang ditonjolkan kepimpinan Pas dengan kedudukan sebenar parti itu dalam rundingan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN).
Malah, beliau turut mempersoalkan pendirian Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang sebelum ini sering menekankan kemampuan parti itu untuk bergerak secara solo.
Katanya, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pas pernah meletakkan sasaran sehingga 16 kerusi DUN Melaka berdasarkan kekuatan akar umbi yang didakwa dimiliki parti berkenaan.
Namun, sasaran itu akhirnya jauh tersasar apabila Pas hanya memperoleh dua kerusi untuk ditandingi selepas mengambil kira pembahagian kerusi bersama parti lain.
“Sebelum ini Pas mahu bertanding 16 kerusi. Namun, akhirnya mereka hanya mengambil kerusi-kerusi yang berbaki yang tidak dikehendaki oleh Umno,” katanya .
Tun Faisal berkata, daripada tujuh kerusi yang pada awalnya diperuntukkan kepada Pas dan sekutunya, satu kerusi diserahkan kepada MCA, manakala selebihnya diagihkan kepada rakan politik sehingga Pas hanya bertanding di dua kawasan.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang perlu dijawab oleh kepimpinan Pas, terutama apabila parti berkenaan sering menampilkan imej sebagai sebuah kuasa politik yang mampu berdiri atas kekuatan sendiri.
“Walaupun sudah hampir 80 tahun berada dalam arena politik, Pas membuktikan bahawa parti itu tidak mampu bertanding secara bersendirian di seluruh negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Tun Faisal mencabar Pas supaya membuktikan kemampuan sebenar dengan meletakkan calon di kesemua 28 kerusi DUN Melaka sekiranya benar-benar yakin mempunyai kekuatan untuk bergerak secara solo.
Sebaliknya, beliau menegaskan Bersatu memilih untuk bertanding di tujuh kerusi sebagai sebahagian daripada strategi membina semula kekuatan parti serta memainkan peranan sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran negeri.
“Bersatu bukan merayu untuk terus hidup. Kami berdiri teguh atas prinsip sendiri, membina semula kekuatan bersama ahli-ahli yang benar-benar setia,” katanya.
Dalam pada itu, Tun Faisal turut membangkitkan persoalan mengenai kesesuaian pendekatan konservatif Pas dengan kepelbagaian budaya serta tradisi masyarakat Melaka.
Beliau mengambil contoh penganjuran acara kebudayaan seperti joget lambak yang disifatkan boleh menguji pendirian Pas sekiranya parti itu berhasrat memainkan peranan lebih besar dalam pentadbiran negeri.
Berdasarkan keputusan penamaan calon pada 31 Oktober lalu, Bersatu disahkan bertanding di tujuh kerusi, manakala Pas hanya mempertaruhkan dua calon daripada keseluruhan lima kerusi yang ditandingi PN.
