
PUTRAJAYA – Kerajaan MADANI bersetuju memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi pemberian kuasa perundangan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak, khususnya dalam pengurusan buangan terjadual.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau berkata, Jemaah Menteri bersetuju menerima memorandum daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam berhubung Perintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa-Kuasa Perundangan) (Pindaan) 2026 bagi Sarawak.
Menurutnya, perintah berkenaan sudah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara sebelum diangkat untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Keputusan ini mencerminkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh pelaksanaan MA63, khususnya dalam memastikan pemberian kuasa perundangan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan, selaras dengan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Fahmi berkata, penyempurnaan pindaan itu menjadi langkah penting sebelum penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) digantung di Sarawak.
Langkah berkenaan bagi membolehkan fungsi pengurusan buangan terjadual diserahkan kepada kerajaan negeri secara teratur, selain mengelakkan pertindihan bidang kuasa antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
Katanya, penyerahan kuasa itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan pengurusan buangan terjadual menjadi fasa permulaan.
Inisiatif berkenaan turut menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan merealisasikan komitmen MA63, khususnya berkaitan pemberian kuasa perundangan Persekutuan dalam bidang alam sekitar kepada Sabah dan Sarawak.
Fahmi berkata, Kerajaan MADANI kekal komited memastikan agenda pelaksanaan MA63 diterjemahkan menerusi tindakan dan keputusan konkrit demi memperkukuh hubungan Persekutuan dengan negeri serta menjamin kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

