Aminuddin reda keputusan PRN, yakin pelapis PH mampu bangkit

SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun reda dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dan menyifatkan kekalahan yang dialaminya sebagai ketentuan Allah SWT yang perlu diterima dengan hati terbuka.

Beliau berkata, walaupun tidak lagi menerajui pentadbiran negeri, perjuangan politiknya belum berakhir dan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti serta membimbing barisan pemimpin muda.

“Ada lima tahun lagi. Saya pun tidak tahu pada masa itu saya masih mampu bergerak seperti sekarang atau tidak. Namun, saya nampak calon-calon yang saya ketengahkan kali ini terdiri daripada pemimpin yang baik.

“Saya percaya mereka akan terus bekerja walaupun kalah. Saya yakin suatu hari nanti mereka akan berada dalam kelompok pemimpin terbaik, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas keputusan rasmi PRN diumumkan, hari ini.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau tidak berasa kecewa dengan keputusan yang diterima kerana menganggapnya sebagai qada dan qadar yang mempunyai hikmah tersendiri.

“Saya tidak ada rasa kecewa. Saya terima dan saya reda dengan apa yang berlaku. Insya-Allah, ada hikmahnya.

“Mungkin ini memberi peluang kepada saya untuk meluangkan lebih banyak masa bersama anak dan cucu, di samping memikirkan peranan yang boleh saya terus sumbangkan kepada parti pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini beliau mahu mengambil sedikit masa untuk menilai keadaan sebelum merancang langkah seterusnya.

“Saya perlu fikirkan dahulu. Selepas itu, kita akan terus bekerja keras demi parti dan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai masa depan PH, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata, gabungan itu masih mempunyai kekuatan untuk terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif.

Menurutnya, keputusan pilihan raya kali ini bukan berpunca daripada kelemahan prestasi pentadbiran, sebaliknya PH perlu memperbaiki pendekatan dalam menyampaikan mesej politik kepada semua lapisan masyarakat.

“Kita tidak kalah dari segi prestasi pentadbiran. Namun, kita masih belum berjaya menarik sokongan semua komuniti dan kaum melalui mesej politik yang dibawa sepanjang pilihan raya.

“Kita sudah menggunakan pelbagai saluran, namun masih ada ruang untuk diperbaiki. Kita akan menilai kelemahan itu bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menegaskan akan terus memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen bersama kepimpinan PH di peringkat pusat dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Related Posts

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

PUTRAJAYA – Tiada mana-mana individu berada di atas undang-undang dan setiap yang disabitkan kesalahan mesti menjalani hukuman mengikut Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada, tegas Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR – Harga arang batu yang melonjak kepada AS$148 satu tan pada 10 September meningkatkan tekanan terhadap kos penjanaan elektrik negara, kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

Tiada individu atasi undang-undang, prinsip kesaksamaan mesti ditegakkan – PH

Penjawat awam didakwa rancang ‘kehilangan’ Vellfire untuk tuntut insurans

Penjawat awam didakwa rancang ‘kehilangan’ Vellfire untuk tuntut insurans

Kepantasan bomba selamat 210 rumah daripada musnah dijilat api

  • By Fatin
  • September 18, 2026
Kepantasan bomba selamat 210 rumah daripada musnah dijilat api

Inisiatif Tamu Desa diharap diteruskan dalam Belanjawan 2027

  • By Fandi
  • September 18, 2026
Inisiatif Tamu Desa diharap diteruskan dalam Belanjawan 2027

300 pelajar ambil bahagian Program STEM Camp MOSTI

300 pelajar ambil bahagian Program STEM Camp MOSTI

Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah

Harga arang batu melonjak cecah AS$148, tingkatkan kos jana elektrik – Akmal Nasrullah