
KUCHING – Beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dijangka menyaksikan kemunculan muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pelapis kepimpinan parti.
Ketua Penerangan PBB, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemilihan calon bukan sekadar mengambil kira keupayaan memenangi pilihan raya, sebaliknya turut mempertimbangkan kesinambungan kepimpinan Sarawak pada masa depan.
Menurutnya, parti perlu memberikan ruang kepada pemimpin baharu, khususnya golongan muda, untuk memperoleh pengalaman dan mempersiapkan diri memikul tanggungjawab kepimpinan.
Beliau berkata, langkah memperkenalkan muka baharu tidak semestinya bermaksud penyandang sedia ada gagal melaksanakan tanggungjawab, tetapi turut mengambil kira keperluan menyediakan barisan pelapis.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, pada Jumaat.
Menurutnya, mandat untuk menentukan senarai akhir calon PBB diserahkan sepenuhnya kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, keputusan tersebut akan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk hasil tinjauan serta pandangan masyarakat setempat, pemimpin masyarakat, golongan wanita dan belia.
Selain itu, pandangan yang disuarakan menerusi media sosial turut menjadi antara maklum balas yang boleh dipertimbangkan dalam proses pemilihan calon.
Bagaimanapun, Abdul Karim menegaskan bahawa keputusan muktamad mengenai siapa yang akan bertanding tetap terletak pada kepimpinan tertinggi parti.
Menurutnya, nama calon PBB lazimnya hanya diketahui ketika majlis penyampaian watikah kepada calon GPS sebelum hari penamaan calon.
Beliau turut mengingatkan bahawa individu yang turun padang atau memperkenalkan diri sebagai bakal calon belum semestinya mendapat pencalonan rasmi daripada parti.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, media sosial menjadi antara medium penting dalam kempen pilihan raya, namun pendekatan bersemuka dengan pengundi tidak boleh diketepikan.
Katanya, pertemuan secara langsung membolehkan rakyat menilai keperibadian, kemampuan dan pendekatan seseorang calon sebelum membuat pilihan.



