Hanis Alimin, Mohamad Qayyum sepakat berpolitik secara sihat di DUN Senaling

KUALA PILAH – Persaingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 tidak menghalang calon muda Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Mohd Hanis Mohd Alimin dan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Qayyum Abd Jalil berkempen secara sihat.

Mohd Hanis berkata, beliau dan Mohamad Qayyum sudah berhubung serta bersetuju memastikan persaingan pada PRN kali ini tidak menjejaskan hubungan baik dan silaturahim antara mereka.

“Pada hari ketiga kempen, saya telah dihubungi calon Barisan Nasional, saudara Qayyum. Saya juga menghubungi beliau dan kami berjanji untuk berkempen secara sihat.

“Kami mahu membuktikan bahawa calon-calon muda di Negeri Sembilan akan membawa satu politik baharu, bukan sahaja di negeri ini tetapi juga di Malaysia dengan menunjukkan akhlak dan peribadi yang baik,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) selepas sesi kempen di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, pilihan raya tidak seharusnya menjadi punca masyarakat bermusuhan hanya kerana perbezaan pilihan politik.

“Pilihan raya ini tidak sepatutnya menipiskan silaturahim antara kita. Kita tidak mahu kerana pilihan raya, orang bergaduh sehingga dua atau tiga tahun.

“Pilihan masing-masing. Kami hanya mampu memberikan keyakinan kepada pengundi untuk mengundi kami, tetapi terpulanglah kepada mereka untuk memilih siapa yang mereka mahu,” katanya.

Mohd Hanis berkata, pendekatan berkempen secara matang itu membuktikan calon muda mampu membawa wajah politik baharu yang lebih berhemah, selain memberi tumpuan kepada tawaran dan penyelesaian yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Kerusi DUN Senaling pada PRN Negeri Sembilan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Mohamad Qayyum (BN), Mohd Hanis (PH) dan Mohd Izaffi Istear Khan (Bersatu).

Mengenai tawaran kepada penduduk Senaling, Mohd Hanis berkata, isu pembangunan dan peluang pekerjaan menjadi antara perkara utama yang mahu diberi perhatian bagi mengurangkan penghijrahan penduduk, khususnya golongan muda.

Katanya, beliau mahu mempromosikan Senaling sebagai kawasan yang mempunyai produk makanan tradisional berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber ekonomi setempat.

“Kita nak bila saya promosikan produk itu, sekurang-kurangnya peluang setempat dapat meningkatkan ekonomi mereka.

“Anak-anak muda ini dapat mewarisi produk makanan tradisional supaya mereka tidak keluar dari Senaling, sebaliknya terus berada di sini dan membangunkan DUN Senaling,” katanya.

Tambahnya, pembangunan ekonomi setempat perlu diperkukuh supaya lebih banyak peluang pekerjaan dan sumber pendapatan dapat diwujudkan untuk penduduk.

Dalam pada itu, Mohd Hanis turut merayu kepada pengundi Senaling yang berada di luar kawasan supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada 1 Ogos ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu memberi perhatian terhadap kelancaran trafik di laluan Bukit Putus menuju Senaling yang dikhuatiri boleh menjejaskan kepulangan pengundi perantauan.

“Kerisauan saya sekarang ialah kesesakan trafik di Bukit Putus menuju Senaling yang agak tinggi. Saya merayu pihak berkuasa dapat memberi jaminan sekurang-kurangnya dua atau tiga hari sebelum pembuangan undi untuk membantu kelancaran anak-anak perantauan pulang mengundi.

“Saya nak merayu kepada abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik saya di luar sana untuk pulang mengundi pada 1 Ogos nanti,” katanya.

Justeru, Mohd Hanis berkata, kepulangan pengundi luar penting bagi memastikan keputusan pilihan raya benar-benar mencerminkan pilihan majoriti penduduk DUN Senaling.

Related Posts

PH masih raih undi popular, namun tewas akibat sistem FPTP – Dr Hafidzah

KOTA BHARU – Pakatan Harapan (PH) masih mendapat sokongan besar rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 apabila merekodkan 40.2 peratus undi popular, namun gagal mempertahankan pentadbiran negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
30 calon PRN Negeri Sembilan hilang wang deposit

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 calon hilang wang deposit selepas gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. Bersatu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Projek jalan Nanga Baoh diluluskan semula dengan peruntukan RM190 juta

Projek jalan Nanga Baoh diluluskan semula dengan peruntukan RM190 juta

Dari peluang kedua hingga teknologi pintar, dua graduan POLYCC buktikan kuasa TVET

Dari peluang kedua hingga teknologi pintar, dua graduan POLYCC buktikan kuasa TVET

Keputusan Loke bukti kepimpinan melangkaui kedudukan – Chan Foong Hin

  • By Ezmie
  • September 21, 2026
Keputusan Loke bukti kepimpinan melangkaui kedudukan – Chan Foong Hin

Penganggur didakwa bunuh isteri kerana cemburu

Penganggur didakwa bunuh isteri kerana cemburu

Tahanan rumah Najib: Undang-undang bukan payung selepas hujan – Mahfuz

Tahanan rumah Najib: Undang-undang bukan payung selepas hujan – Mahfuz

Lebih 980,000 pokok ditanam di SPnCA sejak 2003

  • By Fandi
  • September 21, 2026
Lebih 980,000 pokok ditanam di SPnCA sejak 2003