
KOTA BHARU – Sembilan jajahan di Kelantan berisiko dilanda banjir sehingga 11 November ini susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan memaklumkan jajahan terbabit ialah Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli.
Ramalan awal banjir itu dikeluarkan susulan amaran hujan berterusan pada 4.30 petang Ahad, dengan kawasan rendah, titik panas banjir dan kawasan yang dikenal pasti berisiko dijangka terjejas.
Di Kota Bharu, kawasan berisiko melibatkan Lembangan Sungai Kelantan, manakala di Tumpat membabitkan Lembangan Sungai Golok termasuk Sungai Golok, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Mentua dan Sungai Kelaboran.
Bagi Bachok, kawasan terlibat merangkumi Lembangan Sungai Kemasin termasuk Sungai Jelawat, Sungai Kemasin, Saliran PKS, Saliran KADA dan Sungai Bator. Lembangan Sungai Semerak yang melibatkan Sungai Lubuk Nibong, Sungai Melor, Sungai Gunong dan Sungai Semerak turut dikenal pasti berisiko.
Sementara itu, kawasan berisiko di Machang melibatkan Lembangan Sungai Kelantan termasuk Sungai Kelantan, Sungai Kerawang, Sungai Kweng Hitam dan alur sekitar bandar Machang.
Di Pasir Mas, risiko banjir membabitkan Lembangan Sungai Golok termasuk Sungai Golok dan Sungai Lemal, manakala Pasir Puteh melibatkan Lembangan Sungai Semerak.
Bagi Tanah Merah, kawasan berisiko melibatkan Lembangan Sungai Kelantan, manakala di Kuala Krai membabitkan Sungai Lebir dan Sungai Galas.
Di Jeli pula, kawasan terlibat merangkumi Sungai Pergau dan Sungai Jeli dalam Lembangan Sungai Kelantan serta Sungai Lanas dalam Lembangan Sungai Golok.
PRABN turut mengingatkan bahawa kejadian banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh yang diramalkan.
Sehubungan itu, penduduk khususnya di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, memantau keadaan cuaca dan paras air sungai serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi menghadapi kemungkinan banjir.
Foto: Astro Awani



