
DOHA – Malaysia berpotensi memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kesalinghubungan satelit bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana serta meningkatkan daya tahan sistem komunikasi negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, teknologi baharu itu mampu melengkapi infrastruktur telekomunikasi konvensional, khususnya di kawasan pedalaman dan lokasi yang terjejas akibat bencana.
“Malaysia melihat peluang untuk terus memanfaatkan teknologi baharu termasuk AI, kesalinghubungan satelit serta rangkaian terestrial dan bukan terestrial yang bersepadu bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana dan daya tahan sistem komunikasi.
“Teknologi ini boleh melengkapi infrastruktur konvensional, khususnya di kawasan pedalaman atau kawasan terjejas akibat bencana yang mungkin memerlukan penyelesaian kesalinghubungan alternatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Ministerial Panel sempena Mobile World Congress (MWC) Doha 2026: Digital Leadership Forum pada Ahad.

Fahmi berkata, Malaysia kini memberi penekanan lebih besar terhadap usaha memperkukuh keupayaan telekomunikasi kecemasan bagi memastikan perkhidmatan komunikasi penting tidak terputus sekiranya rangkaian konvensional mengalami gangguan.
“Ketika bencana, kesalinghubungan bukan sekadar kemudahan. Ia boleh menjadi penentu sama ada bantuan dapat diterima tepat pada masanya atau seseorang terputus hubungan dengan dunia luar,” katanya.
Bagi menangani cabaran itu, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan MCMC PRIME (Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak).
Sistem berkenaan menyediakan kemudahan komunikasi radio dan Internet mudah alih sebagai saluran alternatif bagi memastikan kesalinghubungan dapat diteruskan apabila rangkaian telekomunikasi konvensional terganggu.
Inisiatif berkenaan amat relevan ketika berlakunya banjir besar, terutama apabila kerosakan infrastruktur telekomunikasi atau gangguan bekalan elektrik boleh menjejaskan operasi rangkaian mudah alih konvensional.
Fahmi berkata, pendekatan Malaysia turut memberi tumpuan kepada kerjasama antara MCMC, pengendali telekomunikasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta pihak berkuasa berkaitan.
Ia juga dapat memastikan komunikasi antara pasukan tindak balas kecemasan dengan komuniti terjejas berjalan lancar.
“Daya tahan rangkaian bukan sekadar memastikan infrastruktur tidak mengalami kerosakan, tetapi juga menjamin komunikasi penting dapat diteruskan atau dipulihkan secepat mungkin apabila nyawa dan keselamatan orang ramai menjadi taruhan,” katanya.


