
TIDAK menyangka perkongsian mengenai hobi baharu ibunya menghasilkan tudung saji bercorak mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan hasrat untuk membelinya sebagai hadiah buat isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Eezalshah pada awalnya menceritakan aktiviti baharu ibunya yang berusia 70 tahun menghasilkan tudung saji dengan sentuhan corak kreatif.
“My mum is 70 years old. Saya galakkan buat ‘hands-on activitie’s macam ni sebab dulu lepas bapak meninggal, mak banyak main ‘handphone. Sedentary life is not good for her. At least now, her new hobby helps her brain to be active. Whatever makes her happy,” tulisnya di Threads pada Ahad,
Menariknya, hantaran itu mendapat perhatian Anwar yang meninggalkan komen menyatakan minat untuk mendapatkan hasil kerja tangan berkenaan.
“Cantik. Kalau jual, saya nak juga boleh? Nak beri hadiah pada Azizah,” tulisnya.

Respons spontan Perdana Menteri itu mengundang keterujaan pengguna Threads, termasuk seorang pengguna, miracomot yang berseloroh: “BROOO BANGUN PMX NAK BELI TUDUNG SAJIIIIIIIIII”.
Tidak lama kemudian, Eezalshah membalas komen Anwar dengan menyampaikan penghargaan atas sokongan diberikan terhadap hobi ibunya.
“Insya-Allah, saya akan sampaikan hasrat Datuk Seri kepada mak saya. Terima kasih atas kesudian Datuk Seri memberikan sokongan terhadap hobi mak saya.
“Sesungguhnya, sokongan dan penghargaan daripada Datuk Seri merupakan satu penghormatan yang amat bermakna buat mak,” tulisnya lagi.
Beliau turut menyatakan akan berusaha memenuhi hasrat Anwar untuk mendapatkan tudung saji berkenaan.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Threads, mohdfadhliothman turut mencuit perhatian dengan membandingkan hasrat Anwar membeli tudung saji untuk Wan Azizah dengan pembelian barangan kemas oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
“Kenapa PMX nak beli tudung saji untuk Wan Azizah. Tengok Najib, dia belikan untuk Rosmah barang kemas. Macam tu la sayang bini,” tulisnya.



