
LABU – Pakatan Harapan (PH) sentiasa berpegang kepada prinsip tidak mengkhianati atau menikam belakang rakan dalam menjalinkan kerjasama politik, kata calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak.
Beliau berkata, kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran Negeri Sembilan sebelum ini membuktikan kedua-dua pihak mampu bekerjasama secara adil, termasuk dalam soal pembahagian peruntukan.
“Kalau kita berkawan, prinsip kita kena betul-betul berkawan. Kita jangan khianat kawan, jangan tikam belakang kawan.
“Selama PH bersama BN, saya rasa apa yang saya nampak tidak ada kekurangan. Walaupun kita lebih, kita 17 dan dia 14, kita bagi (peruntukan) sama rata,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, pendekatan sama turut dilaksanakan dalam pengagihan peruntukan di peringkat kampung, termasuk kawasan yang mempunyai wakil daripada kedua-dua parti.
“Kalau kita betul-betul ikhlas berkawan, kita bagi peruntukan sama rata. Contohnya satu kampung, kita bagi dua, sembilan sana, sembilan sini. Tidak ada masalah, kita bagi.
“Tetapi ada DUN yang BN menang, tidak bagi dua pun. Boleh semak, boleh tengok. Bagi saya, kita di lapangan nampak apa yang berlaku,” katanya.
Ahmad Faez berkata, keikhlasan seseorang dalam bekerjasama boleh dinilai melalui keselarasan antara kata-kata dan tindakan, bukannya sekadar menyatakan sokongan secara terbuka.
“Kita boleh nilai seorang itu daripada keikhlasan dia berkawan. Keikhlasan dia dengan kata-kata, dengan reaksi itu sama.
“Ini kata cakap sokong, belakang tikam. Cakap akan menyokong, belakang tikam. Bagi saya, kalau kita betul-betul ikhlas berkawan, kita akan tunjukkan melalui tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Faez berkata, ahli politik tidak wajar menjadikan isu berkaitan agama, adat dan bangsa sebagai bahan politik sehingga menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.
Katanya, misi utama seseorang yang menceburi politik sepatutnya jelas, iaitu membantu rakyat dan memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan baik.
“Orang politik hanya uruskan negeri. Bagi saya, tidak wajar setiap hari politik menggunakan adat, agama dan bangsa.
“Agenda bila kita masuk politik ini, misi kita kena jelas. Hanya untuk membantu rakyat, tidak ada lain selain daripada itu.
“Kalau kita runding agama, runding adat, itu sesuatu yang tidak baik dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, Ahmad Faez berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang DUN Labu daripada Bersatu, Mohamad Hanifah Abu Baker dan calon BN, Siti Nur Umaira Hasim.
Kerusi berkenaan sebelum ini dimenangi Hanifah pada PRN 2023 dengan majoriti 1,640 undi.








