
KUALA LUMPUR – Penganjuran Dialog Pelancongan ASEAN-China dan Malaysia-China dilihat sebagai platform strategik dalam memperkukuh kerjasama sektor pelancongan di rantau ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, inisiatif itu sekali gus berupaya meningkatkan hubungan baik antara rakyat negara-negara terbabit.
Menurut beliau, sektor pelancongan bukan sahaja bertindak sebagai pemangkin ekonomi, malah menjadi jambatan penghubung masyarakat menerusi pertukaran budaya dan persahabatan yang berkekalan.
Jelasnya, dialog yang berlangsung pada 22 hingga 23 Julai lalu itu telah menghimpunkan pegawai kanan kerajaan, organisasi pelancongan serta pemain industri secara meluas.
“Dialog ini mencerminkan komitmen bersama ASEAN dan China dalam memperkukuh kerjasama pelancongan serta mempromosikan hubungan rakyat dengan rakyat yang lebih erat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Chiew yang berucap pada majlis perasmian tersebut menegaskan bahawa China akan terus kekal sebagai antara pasaran pelancong paling penting bagi Malaysia.
Buktinya, Malaysia telah menerima kedatangan kira-kira 4.7 juta pelawat dari republik itu pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 25.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Momentum positif itu diteruskan pada tahun ini apabila 2.2 juta pelawat dari China direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mei 2026.
“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 21.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu,” jelas beliau.
Tambahnya, lonjakan itu didorong oleh pelaksanaan pengecualian visa secara timbal balik, peningkatan jaringan penerbangan, serta kerjasama erat agensi pelancongan kedua-dua negara.
Beliau memberitahu, ketika ini terdapat sebanyak 652 penerbangan mingguan yang menghubungkan Malaysia dan China, sekali gus memudahkan pergerakan pelancong.
Dalam pada itu, beliau berharap penganjuran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menarik lebih ramai pelawat China untuk menikmati keindahan warisan dan budaya tempatan.
Pada masa sama, Chiew turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk memanfaatkan peluang mengunjungi China bagi meneroka pelbagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Terdahulu, beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara pemain industri pelancongan Malaysia dan China bagi membuka lebih banyak peluang pelaburan.
Dialog antarabangsa tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Turut hadir, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Pengerusi World Tourism Alliance (WTA), Zhang Xu; serta Setiausaha Agung Pusat ASEAN-China, Zhang Lizhong.





