
KOTA KINABALU – Siri perbincangan bersama-sama pengamal media akan diteruskan secara berkala bagi mengupas setiap komponen Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dengan lebih terperinci, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan media dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Ketua Pegawai Penyelaras, Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai JP, berkata sesi libat urus itu akan diadakan secara bersiri bagi memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada pengamal media mengenai dasar, inisiatif dan hala tuju pembangunan negeri di bawah SMJ 2.0 bagi tempoh 2026–2030.
“Media bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi menjadi rakan strategik kerajaan dalam membentuk kefahaman rakyat terhadap agenda pembangunan negeri.
“Perubahan landskap media yang semakin pantas memerlukan pendekatan baharu dalam penyampaian maklumat agar dasar kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan, khususnya kepada generasi muda yang kini lebih cenderung mendapatkan maklumat melalui platform digital,” ujarnya kepada media selepas merasmikan program Team Building Media Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) 2026 bersama pengamal media daripada pelbagai agensi di Sabah, pada Sabtu.

Tambah Datu Rosmadi, pengamal media turut diminta berkongsi pengalaman dan maklumat dalam mengetengahkan potensi kawasan pertumbuhan baharu di Sabah, termasuk pembangunan berasaskan ekonomi biru yang dikenal pasti sebagai antara pemacu utama pertumbuhan negeri di bawah SMJ 2.0.
“Kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, turut memberi penekanan kepada pembangunan yang lebih menyeluruh melalui pewujudan taman perindustrian baharu serta pembangunan berasaskan kekuatan dan sumber yang dimiliki setiap daerah.
“Kami juga berharap media dapat membantu membina naratif pembangunan yang lebih seimbang dengan menonjolkan pencapaian dan potensi Sabah, di samping menjelaskan cabaran yang dihadapi supaya rakyat memperoleh gambaran yang lebih menyeluruh mengenai usaha pembangunan Kerajaan,” kongsinya.
Tambahnya, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pengamal media penting bagi memastikan aspirasi SMJ 2.0 dapat difahami serta diterjemahkan dengan berkesan kepada seluruh lapisan masyarakat.
Seramai lebih 50 pengamal media dari pelbagai agensi menyertai program berkenaan dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi SMJ, Datuk Ramlee Kariah; Pengarah SMJ, Rosnih Othman serta kakitangan SMJ.





