
JABATAN Peguam Negara (AGC) mempunyai kebebasan membuat keputusan berhubung sesuatu perkara perundangan tanpa campur tangan Perdana Menteri, termasuk dalam isu pengampunan dan pelaksanaan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak, kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali.
Beliau berkata, AGC mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam mentadbir urus hal ehwal perundangan negara, termasuk meneliti sesuatu keputusan berdasarkan peruntukan undang-undang serta fakta berkaitan.
“AGC perlu melihat dari segi undang-undang terlebih dahulu. Peguam Negara mempunyai ramai pegawai dan peguam kanan yang boleh berbincang serta meneliti perkara ini sebelum sesuatu keputusan dibuat,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) hari ini.
Beliau berkata, penelitian berkenaan penting bagi memastikan setiap keputusan mempunyai asas perundangan yang kukuh, terutama apabila membabitkan isu pengampunan, pembayaran denda RM50 juta dan pelaksanaan hukuman terhadap Najib.
Katanya, Peguam Negara perlu mengambil kira kemungkinan keputusan berkenaan dicabar pihak lain melalui proses mahkamah, justeru penelitian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sebarang tindakan diambil.
Ibrahim berkata, AGC juga perlu memastikan sesuatu tindakan pendakwaan memenuhi tahap pembuktian melampaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt) bagi mengelakkan kes berkenaan gagal dibuktikan di mahkamah.
“Kalau AGC melihat bukti tidak cukup kuat dan tidak boleh dibuktikan melampaui keraguan munasabah, kalau dibawa pendakwaan pun mungkin kalah.
“Apabila kalah, orang akan dakwa keputusan itu dibuat secara sengaja atau ada unsur penganiayaan politik,” katanya.
Beliau berkata, hakikat bahawa Peguam Negara dilantik oleh Perdana Menteri tidak bermakna keputusan AGC dibuat atas arahan atau dipengaruhi kepentingan politik ketua kerajaan.
“Memang kerajaan Anwar, Peguam Negara lantikan Anwar, itu betul. Tetapi saya percaya sesuatu yang hendak dibuat kalau atas dasar ‘political manoeuvre’, orang akan nampak kebenarannya.
“Ini keputusan AGC. Kalau Najib balik, kemudian ada orang cabar di mahkamah, itu menjadi masalah AGC, bukan Anwar. Tetapi dari segi politik, semuanya dihalakan kepada Anwar,” katanya.
Sehubungan itu, Ibrahim meminta orang ramai tidak terburu-buru membuat tuduhan sebaliknya memberi ruang kepada AGC menjelaskan asas perundangan di sebalik keputusan berkenaan.
Katanya, beliau sendiri memilih untuk tidak membuat kesimpulan awal kerana masih memerlukan penjelasan lanjut mengenai kedudukan undang-undang dalam isu terbabit.
“Kalau kita sendiri tidak jelas, bagaimana kita hendak bercakap? Perkara ini perlu jelas dan kita kena berpegang kepada fakta.
“Jika AGC menjalankan tugas dan didapati tidak telus atau menerima arahan pihak tertentu, saya sendiri akan mengecamnya. Tetapi beri peluang dahulu kepada AGC untuk membuat kerja dengan betul dan telus,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, AGC pada Jumaat mengumumkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib sehingga penelitian dan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi selesai.
AGC menjelaskan, penangguhan itu bertujuan mendapatkan kepastian undang-undang berhubung baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International dan implikasinya terhadap pelaksanaan hukuman dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar segera menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi memohon ampun serta menjelaskan persoalan perundangan berhubung penangguhan berkenaan.
Anwar berkata, urusan memperincikan kedudukan perundangan itu diserahkan kepada Peguam Negara kerana perkara berkenaan bukan bidang kuasa Perdana Menteri.


