
KOTA KINABALU – Kolej Tingkatan Enam Sepanggar terus mencipta kecemerlangan apabila merekodkan pencapaian membanggakan dengan seramai 314 pelajar berjaya menamatkan pengajian, termasuk 11 pelajar memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, pencapaian itu amat membanggakan, malah kolej berkenaan turut menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan sebagai antara pusat tingkatan enam terbaik di negara ini.
“Kejayaan ini membuktikan peningkatan prestasi kolej ini yang semakin menyerlah dari semasa ke semasa hasil komitmen pihak pengurusan sekolah, pengetua serta guru-guru.
“Saya fikir ini satu pencapaian yang baik dan juga pada tahun ini sebanyak 11 pelajar kita yang mendapat 4.0 dan yang ini seperti semua sudah maklum kita akan pastikan mana-mana pelajar yang mendapat 4.0 akan mendapat tempat di universiti pilihan dan juga beberapa anugerah lain,” katanya ketika ditemui oleh media di Majlis Graduasi Kolej Tinggkatan Enam Kota Kinabalu, di sini pada Ahad.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, beliau berbangga melihat peningkatan prestasi kolej berkenaan dan berharap kecemerlangan itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Di pihak saya, kami akan terus membantu memastikan prestasi kolej itu kekal cemerlang dengan sokongan berterusan kepada pihak sekolah serta warga pendidik.
“Parlimen Sepanggar turut melaksanakan dasar membantu anak-anak Sepanggar yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti atau institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Mana-mana anak Sepanggar yang mendapat keputusan yang baik dan mendapat tawaran di mana-mana universiti atau institusi TVET, pihak Parlimen akan menyediakan bantuan secara one-off kepada pelajar-pelajar,” ujarnya.
Tambah Mustapha, pelajar yang menerima tawaran hanya perlu memaklumkan kepada pihak Parlimen melalui sekolah bagi membolehkan bantuan disalurkan.
“Kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memilih laluan tingkatan enam, pihak parlimen akan menyediakan bantuan kepada mereka yang menyambung pengajian di peringkat berkenaan.
“Dalam perkembangan sama, mulai tahun hadapan pelajar tingkatan enam akan menerima elaun bulanan daripada Kerajaan MADANI,” jelasnya.

Tambahnya lagi, berdasarkan kajian yang dijalankan, sistem tingkatan enam merupakan antara modul pendidikan terbaik kerana setanding dengan A-Level serta mampu membentuk pemikiran yang kritis dalam kalangan pelajar.
“Cabaran utama ketika ini adalah memastikan pelajar lepasan tingkatan enam mendapat penempatan di universiti pilihan mereka, khususnya mereka yang memperoleh keputusan cemerlang seperti PNGK 4.0, selain membantu pelajar lain melanjutkan pengajian ke universiti atau institusi TVET.
“Saya turut menegaskan kerajaan tidak mahu pelajar tingkatan enam dianaktirikan, malah keputusan Kerajaan MADANI meletakkan tingkatan enam dan matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi akan memastikan graduan daripada aliran tersebut menerima peluang yang setara dengan rakan-rakan mereka di universiti,” katanya.






