
KOTA KINABALU – Sabah muncul sebagai negeri mencatat jumlah pendaftaran tertinggi bagi kategori baharu Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) melibatkan Sektor Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap), sekali gus memperlihatkan sambutan positif terhadap peluasan pelaksanaan subsidi diesel yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setakat 23 Julai 2026, sebanyak 5,583 syarikat di Sabah melibatkan 10,046 kenderaan telah berdaftar di bawah kategori tersebut, mengatasi jumlah pendaftaran di Semenanjung, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Julai 2026, manakala permohonan pendaftaran SKDS telah dibuka sejak 4 Mei 2026.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertanggungjawab mengawal selia penyaluran subsidi diesel bagi 35 jenis kenderaan perdagangan, manakala BUDI Diesel dan BUDI Agri-Komoditi bagi kategori individu berada di bawah kawal selia Kementerian Kewangan,” katanya dalam Majlis Penyerahan Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sempena Festival JOM MALAYSIA di Kompleks Sukan Sandakan,di sini pada Ahad.

Armizan berkata, sebagaimana diumumkan sebelum ini, peluasan pelaksanaan SKDS di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan melibatkan tiga sektor iaitu Sektor Pengangkutan Darat (Awam), Sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna) dan sektor baharu iaitu Sektor Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap).
“Setakat 23 Julai 2026, sebanyak 190,012 syarikat melibatkan 493,160 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS di seluruh negara meliputi ketiga-tiga sektor tersebut.
“Peluasan kelayakan kepada Sektor Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap) yang dibuka mulai 3 Julai 2026 merupakan antara penambahbaikan utama pelaksanaan SKDS kerana membolehkan perniagaan milikan tunggal dan perkongsian yang menggunakan kenderaan jip dan pikap berdaftar di bawah kelas kegunaan Persendirian Syarikat menikmati subsidi diesel melalui mekanisme SKDS.
“Setakat 23 Julai lalu, sebanyak 15,388 syarikat melibatkan 25,781 kenderaan telah berdaftar di bawah kategori Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap), dengan Sabah merekodkan 5,583 syarikat dan 10,046 kenderaan, diikuti Sarawak sebanyak 4,713 syarikat melibatkan 8,292 kenderaan, Semenanjung 4,935 syarikat dengan 7,243 kenderaan serta Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 157 syarikat membabitkan 200 kenderaan,” ujarnya.
Menurut Armizan, sebanyak 67.9 peratus syarikat yang menerima manfaat daripada peluasan sektor baharu itu adalah berdaftar di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu melibatkan 10,453 syarikat dengan 18,538 kenderaan berbanding keseluruhan 15,388 syarikat dan 25,781 kenderaan di seluruh negara.
“Peningkatan pendaftaran tersebut menunjukkan peluasan kelayakan SKDS kepada kategori Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap mendapat sambutan yang positif daripada syarikat-syarikat yang layak di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Bagi syarikat yang telah mendapat kelulusan SKDS, langkah seterusnya ialah mendapatkan fleet card daripada syarikat minyak bagi membolehkan pembelian diesel bersubsidi.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada syarikat-syarikat minyak atas kerjasama erat yang diberikan dalam memastikan proses pengeluaran fleet card kepada syarikat-syarikat yang layak dapat dilaksanakan dengan lancar, selain menggesa semua syarikat yang memenuhi syarat kelayakan tetapi masih belum berdaftar di bawah SKDS supaya segera mengemukakan permohonan melalui portal MySubsidi,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata bagi pelaksanaan subsidi diesel untuk penerima individu, ia berada di bawah kawal selia Kementerian Kewangan Malaysia melalui BUDI Diesel dan BUDI Agri-Komoditi.
“Beberapa perkara telah dibangkitkan termasuk di Sandakan apabila wakil-wakil rakyat seperti Datuk Samad, Datuk Khairul Firdaus, Puan Vivian, Datuk Hazem dan MIHA menyuarakan supaya syarat subsidi untuk individu dan isi rumah iaitu BUDI95 Petrol serta BUDI Diesel diseragamkan.
“Permintaan tersebut ialah supaya syarat yang sama diguna pakai iaitu warganegara dan mempunyai lesen memandu yang aktif sebagaimana syarat BUDI95 Petrol, tanpa perlu pendaftaran kenderaan atas nama milikan individu seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan bagi BUDI Diesel.
“Mengambil kira perkara itu tidak melibatkan kenderaan perdagangan, saya telah meminta syor tersebut disalurkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah memandangkan kini sudah wujud platform penyelarasan antara Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dengan Kementerian Kewangan di peringkat Persekutuan,” tegasnya.
Sementara itu, Armizan berkata, KPDN akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, syarikat-syarikat minyak serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan SKDS terus diperkukuh dari semasa ke semasa.




