
KOTA KINABALU – Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) diwujudkan bagi memastikan pelbagai inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara terus kepada masyarakat, khususnya golongan belia di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, program jelajah anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu bertujuan mendekati belia serta memperkenalkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian dan agensi kerajaan.
“Kita membawa pelbagai agensi kerajaan membuka reruai untuk menyantuni masyarakat serta memperkenalkan inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh belia dan penduduk setempat.

“Kita percaya masih banyak program dan inisiatif kerajaan yang tidak diketahui masyarakat kerana maklumat tidak sampai ke peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program KIBAR Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Kampung Dato’, Menggatal, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, walaupun maklumat boleh diakses secara dalam talian, pendekatan turun padang masih penting bagi memastikan rakyat memahami peluang dan bantuan yang disediakan kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat supaya mengambil peluang menghadiri program seperti KIBAR bagi mendapatkan maklumat secara terus daripada agensi berkaitan.
Mordi turut menggalakkan golongan belia supaya lebih proaktif menyertai program kerajaan dan tidak hanya menunggu kerajaan mendekati mereka.
“Kita mahu wujudkan interaksi dua hala. Belia perlu lebih berani, lebih aktif dan bersama-sama kerajaan membina masyarakat yang lebih cergas serta berdaya saing,” katanya.
Sebagai rekod, kira-kira 500 peserta menyertai program KIBAR Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Kampung Dato’, Menggatal, yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud yang turut dijemput sebagai panel utama dalam TownHall program tersebut.





