
KOTA KINABALU – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah menggesa semua wakil rakyat serta ketua jabatan di negeri ini menjadi peneraju dalam mempromosikan penggunaan buah-buahan tempatan bagi menyokong petani dan memperkukuh industri pertanian Sabah.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, penggunaan buah-buahan tempatan wajar dijadikan pilihan dalam pelbagai majlis termasuk sebagai cenderahati ketika melawat orang sakit di hospital, menghadiri majlis perkahwinan dan acara rasmi, berbanding buah-buahan import.
“Sekiranya melawat ataupun masuk ke kawasan yang memerlukan cenderahati dan sebagainya ataupun melawat orang sakit di hospital dan sebagainya ataupun ada majlis perkahwinan dan sebagainya.
“Elakkan menggunakan buah-buahan import seperti epal, anggur dan lain-lain supaya kita boleh menyokong industri buah-buahan, supaya para petani kita akan dapat memasarkan hasil pertanian dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui media, di Dewan Undangan Sabah, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian bersama Jabatan Pertanian, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) serta agensi berkaitan juga akan membantu menghasilkan pembungkusan buah-buahan tempatan yang lebih menarik supaya sesuai dijadikan hadiah atau cenderahati.

Menurutnya, kempen berkenaan adalah kesinambungan usaha kementerian selepas sebelum ini mempromosikan pemberian anak ayam, anak itik dan anak puyuh kepada wakil rakyat, yang menurut beliau mendapat sambutan positif sehingga ramai sudah menternak sendiri di rumah.
Jamawi berkata, maklum balas terhadap inisiatif Kebun Dapur juga amat menggalakkan apabila masyarakat semakin berminat bercucuk tanam, menternak ayam, itik, puyuh dan memelihara ikan secara kecil-kecilan bagi meningkatkan sara diri serta menjana pendapatan tambahan.
“Saya mendapat maklum balas yang cukup positif, rakyat dahagakan bantuan dan perlu ada satu anjakan dalam kalangan masyarakat kita untuk bercucuk tanam di keliling rumah, untuk memelihara ayam, itik, puyuh di keliling rumah ataupun memelihara ikan secara kecil-kecilan.
“MAFFI menyasarkan 5,000 pengusaha Kebun Dapur dalam tempoh lima tahun, namun hasil kaji selidik mendapati kira-kira 3,000 penduduk sudah mengusahakan kebun di sekitar rumah masing-masing dalam tempoh enam bulan,” kongsianya.
Sehubungan itu, katanya, kementerian bercadang memperkenalkan skim insentif sempena Hari Peladang tahun ini bagi memberi pengiktirafan kepada pengusaha Kebun Dapur yang berjaya, dengan Jabatan Pertanian Sabah dipertanggungjawabkan memantau pelaksanaannya.
Dalam pada itu, Jamawi turut memaklumkan perbincangan dengan Datuk Bandar Kota Kinabalu serta Presiden Majlis Perbandaran Sandakan dan Majlis Perbandaran Tawau telah diadakan bagi mengenal pasti kawasan pocket land di bandar untuk dimanfaatkan penduduk flat dan kondominium sebagai tapak Kebun Dapur.
Selain itu, beliau berkata, program Kebun Dapur di institusi pendidikan dijangka dimulakan tahun hadapan dengan keutamaan diberikan kepada sekolah yang mempunyai silibus pertanian.
Tambahnya, agensi di bawah kementerian akan menyediakan khidmat nasihat bagi memupuk kesedaran mengenai keterjaminan dan keselamatan makanan dalam kalangan pelajar sejak di peringkat awal.
“Mereka akan turun padang membantu sekolah kerana pendedahan awal penting bagi meningkatkan kesedaran mengenai keterjaminan dan keselamatan makanan di Sabah,” ujarnya.








