Kerajaan Sabah komited atasi kesesakan trafik di Ranau, Kundasang

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah komited menangani masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius di Pekan Ranau dan Kundasang, khususnya pada hujung minggu, musim cuti sekolah dan musim perayaan.

Menteri Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) Sabah, Datuk Seri Joachim Gunsalam berkata, kementeriannya sememangnya menyedari kesesakan yang berlaku di kedua-dua kawasan berkenaan dan telah mengambil beberapa inisiatif bagi mengatasinya menerusi pelaksanaan langkah jangka pendek serta jangka panjang.

“Kementerian saya sememangnya menyedari akan kesesakan lalu lintas yang berlaku di Pekan Ranau dan Kundasang khususnya pada hujung minggu, cuti sekolah dan perayaan.

“Oleh itu, Kementerian saya telah mengambil beberapa inisiatif bagi menangani masalah tersebut melalui langkah jangka pendek dan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Paginatan, Datuk Rusdin @ Musidi Riman, pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, di sini pada Khamis.

Katanya, bagi langkah jangka pendek, kerajaan sedang melaksanakan projek naik taraf Jalan Kampung Mohimboyon–Lipantai–Pahu, Ranau sepanjang enam kilometer yang kini mencapai kemajuan fizikal 69.69 peratus dan dijangka siap pada 2027.

Selain itu, projek naik taraf Jalan Tambiau–Sarapong sepanjang 4.05 kilometer yang dijangka siap pada 2028 turut dilaksanakan sebagai laluan alternatif ke Pekan Ranau dengan kemajuan fizikal semasa sebanyak 5.42 peratus.

Kerajaan turut merancang pembinaan lorong memotong di beberapa lokasi strategik bagi memudahkan pergerakan trafik, khususnya apabila terdapat kenderaan berat yang bergerak perlahan di laluan berbukit.

“Langkah-langkah ini dijangka dapat meningkatkan kapasiti jalan, melancarkan pergerakan trafik serta mengurangkan kesesakan di kawasan Ranau dan Kundasang.

“Selain itu, pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki ini turut membantu mengurangkan panjang barisan kenderaan di kawasan berbukit serta mengurangkan risiko kemalangan akibat aktiviti memotong di sepanjang laluan Tamparuli–Sandakan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya,” katanya.

Manakala bagi penyelesaian jangka panjang, Joachim berkata, kerajaan telah meluluskan projek pembinaan Jalan Ranau Bypass dari Bundu Tuhan ke Kilimu di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), melibatkan cadangan jalan pintasan sepanjang 30 kilometer.

Menurutnya, projek naik taraf Jalan Kampung Mesilau–Kampung Lipasu sepanjang lapan kilometer turut diluluskan di bawah RMKe-13 dengan kos projek RM138.661 juta dan siling peruntukan RM40 juta.

“Status terkini projek adalah dalam fasa pelantikan jurutera perunding bagi penyediaan reka bentuk terperinci.

“Apabila siap kelak, jalan pintasan ini akan menyediakan laluan alternatif dari Bundu Tuhan yang menghubungkan terus ke Jalan Ranau–Sandakan di Kilimu.

“Ini membolehkan pengguna yang menuju ke Sandakan atau kawasan sekitarnya tidak lagi perlu melalui Pekan Kundasang dan Pekan Ranau, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua pekan tersebut,” jelasnya.

Joachim berkata, kerajaan komited mengurangkan kesesakan trafik di Ranau dan Kundasang melalui projek sedia ada serta projek strategik RMKe-13 yang akan meningkatkan kapasiti jalan dan menyediakan lebih banyak laluan alternatif.

Related Posts

Borneo Bird Run kembali selepas tujuh tahun, sasar semarak kesedaran alam sekitar

SANDAKAN – Borneo Bird Run kembali menemui masyarakat selepas tujuh tahun berehat apabila edisi keempat acara berkenaan bakal berlangsung di Rainforest Discovery Centre (RDC), Sepilok, pada 8 November ini. Pengerusi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pusat Khidmat Parlimen Miri sumbang cermin mata percuma kepada pelajar sekolah

MIRI – Seramai 155 pelajar daripada tiga buah sekolah menerima cermin mata secara percuma menerusi inisiatif Pusat Khidmat Parlimen Miri dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat Des Optics.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Borneo Bird Run kembali selepas tujuh tahun, sasar semarak kesedaran alam sekitar

  • By Fandi
  • September 8, 2026
Borneo Bird Run kembali selepas tujuh tahun, sasar semarak kesedaran alam sekitar

Pusat Khidmat Parlimen Miri sumbang cermin mata percuma kepada pelajar sekolah

Pusat Khidmat Parlimen Miri sumbang cermin mata percuma kepada pelajar sekolah

Kerajaan Sabah terus perjuangan tuntut 40 peratus hak negeri

  • By Fatin
  • September 8, 2026
Kerajaan Sabah terus perjuangan tuntut 40 peratus hak negeri

Layakkah Pas digelar parti ‘syurga’?

Layakkah Pas digelar parti ‘syurga’?

Lima prinsip asas perlu jadi pegangan ahli politik

Lima prinsip asas perlu jadi pegangan ahli politik

Kolej Komuniti Mas Gading meterai surat niat kerjasama dengan Plaza Merdeka

Kolej Komuniti Mas Gading meterai surat niat kerjasama dengan Plaza Merdeka