
SARATOK – Penantian hampir dua dekad penduduk Rumah Panjang Mujah di Lubok Nibong bernoktah apabila projek menaik taraf sistem bekalan elektrik di kawasan itu kini mula dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek tersebut dimulakan dengan lawatan dan siasatan tapak oleh kontraktor berlesen bagi menilai segala keperluan teknikal.
Menurut beliau, pelaksanaan itu adalah susulan permohonan yang dikemukakan oleh Tuai Rumah Mujah selepas sistem sedia ada didapati tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.
Jelasnya, pendawaian dalaman rumah panjang yang digunakan hampir 20 tahun itu perlu diganti segera kerana tidak lagi mampu menampung peningkatan penggunaan peralatan elektrik oleh penduduk.
“Keadaan ini memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan risiko lebihan beban dan litar pintas yang boleh menyebabkan ancaman kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Rumah Panjang Mujah sempena sesi penilaian tapak projek bersama kontraktor pada Rabu.
Dalam lawatan tersebut, Mohamad turut mempengerusikan sesi dialog bersama penduduk bagi memberi penerangan lanjut berhubung pelaksanaan kerja naik taraf pendawaian dalaman.
Tambahnya, sesi itu amat penting bagi memastikan penduduk memahami sepenuhnya proses projek berkenaan, sekali gus mewujudkan kerjasama erat sepanjang tempoh kerja dijalankan.
Beliau turut berharap agar semua pihak termasuk penduduk, pihak kontraktor ATT, dan Sarawak Energy Berhad (SEB) dapat memberikan kerjasama sepenuhnya demi kelancaran projek.
Lebih manis, beliau menyifatkan permulaan kerja teknikal yang bermula tepat pada sambutan Hari Sarawak (22 Julai) itu sebagai perkembangan yang amat bermakna buat penduduk di situ.
Foto: ADUN Kalaka








