PORT DICKSON – Pemberian empat kerusi oleh Barisan Nasional (BN) kepada Wawasan membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH), khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dimenangi tipis oleh gabungan itu pada 2023.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, penyerahan kerusi itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan sebahagian pemimpin dan akar umbi BN.
Menurut beliau, jentera pilihan raya tidak bergerak hanya melalui arahan pusat, namun bergantung pada ketua bahagian, pemimpin cawangan serta petugas tempatan dan apabila merasakan kerusi tradisi dan peluang calon tempatan diketepikan, sokongan kepada calon jajaran menjadi separuh hati.
“Ampangan, Klawang, Pilah dan Sikamat mempunyai majoriti antara 329 hingga 2,662 undi. Kerusi seperti ini boleh ditentukan bukan sahaja oleh arus nasional, tetapi oleh beberapa ratus undi, kekuatan calon dan kecekapan operasi pada hari mengundi.
“Pada PRN 2023, jumlah undi BN dan PN menghampiri 60 peratus. Tetapi tidak semua penyokong UMNO, MCA dan MIC akan selesa mengundi calon Pas, Wawasan, Gerakan dan MIPP selaon tidak semua penyokong Pas, Wawasan, Gerakan dan MIPP akan memilih calon UMNO, MCA atau MIC hanya kerana wujud persefahaman kepimpinan.
“Kerjasama BN dengan Pas dan parti lain juga masih baharu dan belum diuji sepenuhnya. Hubungan antara kedua-duanya tidak mempunyai struktur akar umbi yang benar-benar kukuh seperti kerjasama lama dalam satu gabungan formal,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Pada masa sama, Mashitah berkata, luka akibat kegagalan Muafakat Nasional (MN) masih belum hilang sepenuhnya, khususnya dalam kalangan pemimpin dan penyokong yang pernah melihat kerjasama UMNO serta Pas sebagai peluang besar sebelum hubungan itu berakhir dengan saling tidak mempercayai.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) berkata, PH juga masih mempunyai laluan munasabah untuk mempertahankan kerajaan negeri, khususnya jika berjaya meningkatkan kadar keluar mengundi, mempertahankan kubu bandar dan memenangi kerusi Melayu separa bandar yang masih kompetitif.
“Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN, menjadikan 19 kerusi sebagai majoriti mudah. Dalam PRN 2023, PH memenangi 17 kerusi, BN 14 dan PN lima. Berbeza daripada PRN 2023, PH kini bertanding bersendirian, manakala BN dan PN membahagikan kerusi tanpa bertembung antara satu sama lain.
“Namun begitu, susunan satu lawan satu itu tidak bermaksud semua undi BN dan PN akan berpindah secara automatik kepada calon yang dipersetujui. Pemindahan undi atau vote transferability sentiasa bergantung pada penerimaan calon, keserasian parti, kekuatan jentera dan tahap disiplin penyokong,” katanya.

Katanya, PRN kali ini juga tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan Johor susulan Negeri Sembilan memiliki tradisi persaingan lebih seimbang, kawasan bandar kuat untuk PH selain kelompok pengundi Melayu separa bandar yang tidak semestinya terikat secara mutlak kepada satu parti.
“PH juga mempunyai satu kelebihan yang tidak begitu jelas di Johor, iaitu calon Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang sudah diketengahkan sebagai poster boy serta mempunyai rekod pentadbiran, pengalaman dan wajah kepimpinan negeri berbanding BN yang belum ada poster boy.
“Pengundi tidak hanya memilih parti, tetapi turut menilai siapakah yang akan mengetuai kerajaan selepas pilihan raya. PH perlu menjadikan perbandingan kepimpinan sebagai teras kempen.
“Sebuah kerajaan yang mempunyai calon Menteri Besar yang jelas seperti PH pastinya mempunyai kelebihan berbanding jajaran yang masih belum menjawab persoalan mengenai pembahagian kuasa, jawatan Exco dan arah pentadbiran selepas menang,” katanya.
Namun begitu, Mashitah berpendapat, peluang PH sangat bergantung pada kadar keluar mengundi, di mana pengajaran di PRM Johor menunjukkan bahawa sokongan di atas kertas tidak bermakna sekiranya penyokong tidak hadir membuang undi.
Beliau menegaskan, PH mesti memastikan pengundi di benteng utama gabungan itu seperti kerusi Nilai, Chennah, Repah, Temiang, Sri Tanjung, Rahang, Bahau, Bukit Kepayang, Seremban Jaya, Chuah, Lukut, Mambau dan Lobak keluar mengundi dalam jumlah tinggi.
“Kadar keluar mengundi yang rendah boleh mengecilkan majoriti dan membolehkan lawan memberi tekanan, tetapi penyertaan tinggi akan memberikan PH asas kukuh untuk memburu 19 kerusi. PH juga tidak boleh hanya bergantung pada kawasan bukan Melayu.
“Selepas mempertahankan sekitar 13 kerusi teras, PH perlu memenangi sekurang-kurangnya enam kerusi daripada Ampangan, Sikamat, Klawang, Pilah, Labu dan Linggi. Kempen di kerusi ini mesti memfokuskan pengundi Melayu separa bandar, penjawat awam, peneroka, belia dan pengundi atas pagar,” katanya.
Tambahnya, PH juga harus mengeksploitasi kelemahan pemindahan undi BN–PN secara bijaksana dengan menggunakan pendekatan meyakinkan pengundi bahawa calon PH lebih stabil, berpengalaman dan mampu menyelesaikan masalah tempatan, bukannya menyerang identiti Melayu, Islam atau kaum.
“PH perlu membawa isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pengangkutan dan pembangunan setempat, bukan sekadar mempertahankan rekod kerajaan pusat.
Pengundi Cina dan India yang kecewa pula perlu dipujuk supaya tidak mengambil sikap berkecuali.
“Tidak keluar mengundi memberi kesan hampir sama seperti mengundi lawan. Pertarungan sebenar terletak pada disiplin jentera, penerimaan calon dan siapa berjaya membawa penyokongnya ke peti undi. Jika PH berjaya membawa keluar pengundi bandar, mempertahankan kerusi marginal dan memenangi enam kerusi campuran atau Melayu separa bandar, PH masih berpeluang menang,” katanya.


