
SARATOK – Sinergi utuh antara komuniti dengan pelbagai agensi amat diperlukan bagi mengekang gejala penyalahgunaan dadah yang sering menjadi punca utama berlakunya keganasan rumah tangga.
Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Saratok, Sektor Pengurusan Pembangunan Murid, Zulkarnain Ahmad berkata, masalah tersebut bukan sahaja menggugat keharmonian, malah menjejaskan perkembangan emosi dan kelangsungan pendidikan anak-anak.
Menurutnya, kesejahteraan sesebuah keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk generasi cemerlang kerana proses pembelajaran tidak bergantung kepada persekitaran sekolah semata-mata.
“Kanak-kanak yang membesar dalam suasana penuh konflik akan hilang rasa selamat selain berdepan tekanan emosi yang berpanjangan, sekali gus menjejaskan prestasi mereka.
“Sebab itu usaha menangani gejala ini tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja. Ia memerlukan kerjasama menyeluruh ibu bapa, komuniti, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program ‘Jerat Keluarga: Intervensi Komuniti Menangani Keganasan Rumah Tangga Akibat Penyalahgunaan Dadah’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Wong Besi di sini, pada Sabtu.
Program kesedaran berkenaan merupakan inisiatif Pertubuhan Amal Anak Sarawak (Al-Ansar) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), PEMADAM Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Juara Travel & Tours Sdn Bhd dan pihak sekolah.
Sementara itu, Guru Besar SK Wong Besi, Abdul Malik Deni menyifatkan penganjuran program tersebut amat bertepatan bagi membendung isu dadah yang semakin membimbangkan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, wakil Al-Ansar, Rosmawati Bolhasan menjelaskan program berkenaan dirangka untuk memberi sokongan psikososial kepada mangsa serta memperkukuh jaringan pencegahan antara agensi.
Sepanjang kempen berlangsung, kira-kira 180 peserta disajikan dengan perkongsian ilmu, antaranya taklimat pencegahan oleh Pegawai AADK Bahagian Betong, Hillary Intan Kunul yang menyentuh bahaya syabu dan ketum.
Selain itu, Ceramah Keibubapaan turut disampaikan oleh Penolong PPD Unit Pemulihan Khas PPD Saratok, Mohaldin Jiren dan perkongsian oleh Pegawai Hikmah Cawangan Betong, Muhammad Shazlie Shukeri.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya menghimpunkan penduduk, warga pendidik serta wakil dari SK Wong Besi, SK Praja, SK Nanga Budu dan SK Nanga Gerenjang.
Turut hadir, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Wong Besi, Jutie Sagoi dan Penghulu Dickson Chendang.



