
KERAJAAN Perpaduan berjaya mengurangkan jumlah hutang baharu tahunan daripada sekitar RM100 bilion ketika mengambil alih pentadbiran negara kepada sekitar RM70 bilion ketika ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, jumlah itu berjaya dikurangkan secara berperingkat.
Bagaimanapun, kerajaan masih perlu menanggung dan melunaskan hutang lama yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, termasuk hutang berkaitan 1MDB, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
“Hutang lama itu masih mempunyai faedah yang perlu dibayar. Hutang 1MDB, Tabung Haji dan Felda masih perlu diselesaikan hingga hari ini.
“Saya cuma mengurangkan hutang baharu, tetapi hutang lama tetap perlu dibayar, sebab itu jumlah keseluruhan hutang negara masih kelihatan besar,” katanya dalam ucapan sempena majlis Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit di Terengganu Equestrian Resort.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan perlu terus menyelesaikan komitmen hutang berkenaan bagi memastikan kedudukan kewangan negara serta kelangsungan operasi institusi tersebut terpelihara.
Anwar berkata, kerajaan perlu membayar RM980 juta setahun bagi menyelesaikan hutang lama Felda.
“Tanggungjawab sama turut melibatkan TH bagi memastikan wang pendeposit dan kebajikan jemaah haji terus terpelihara.
“Pengurusan kewangan negara yang berhemat penting bagi memastikan kerajaan mampu memenuhi komitmen sedia ada tanpa menjejaskan keupayaan menyediakan bantuan dan kemudahan kepada rakyat,” kata beliau.


