
SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Istana Negeri Sembilan untuk mengumumkan keputusan hasil pertemuan beliau bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Khamis.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sesi menghadap berlangsung dalam suasana tenang dan segala keputusan yang dicapai akan dimaklumkan oleh pihak Istana.
“Kami telah menghadap Tuanku Muhriz dalam suasana yang tenang dan Tuanku akan membuat keputusan.
“Kita akan serahkan kepada pihak Istana untuk mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan yang telah kami capai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar Istana Hinggap di sini selepas selesai menghadap Tuanku Muhriz pada Khamis.
Ahmad Zahid tiba di istana kira-kira jam 3 petang sebelum meninggalkan lokasi berkenaan pada 4.15 petang.
Turut hadir dalam sesi menghadap itu ialah Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN merangkap Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Mengulas kemungkinan pertemuan itu turut membincangkan pelantikan Menteri Besar baharu dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ahmad Zahid berkata, perkara berkenaan juga diserahkan kepada pihak Istana untuk diumumkan.
“Itu biarlah Istana yang keluar kenyataan. Biarlah kenyataan daripada Istana itu memuktamadkan keputusan yang telah kami sama-sama persetujui,” katanya.
Beliau turut berharap kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan dapat diselesaikan dalam masa terdekat, namun menegaskan segala keputusan terletak pada kebijaksanaan pihak Istana.
“Insya-Allah dalam masa terdekat. Biarlah kita serahkan kepada Istana. Istana yang buat keputusan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh menghadap Tuanku Muhriz kira-kira jam 1.18 tengah hari.


