
JOHOR BAHRU – Seorang penduduk di sini menyifatkan pengalaman tidak menerima bantuan daripada parti MIC ketika rumahnya dilanda banjir suatu ketika dahulu menjadi antara faktor yang mendorong beliau beralih memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).
Rajagopal Rohindasami, 66, berkata, ketika banjir melanda, beliau berasa kecewa kerana mendakwa tidak menerima sebarang bantuan daripada parti itu walaupun amat memerlukannya.
“Saya berasa kecewa kerana tiada bantuan yang saya terima ketika itu. Sebaliknya, sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil PH datang menghulurkan bantuan walaupun hujan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Dia turut mendakwa tidak dibantu kerana menghadiri ceramah PH, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diterimanya.
Katanya, pengalaman itu menjadi titik perubahan sehingga beliau mengambil keputusan memasang bendera PH di kediamannya sejak tahun lalu sebagai tanda sokongan kepada gabungan berkenaan.
Rajagopal yang juga merupakan peniaga kecil sejak 40 tahun lalu berkata, sikap pemimpin yang sanggup turun padang membantu rakyat ketika berdepan musibah lebih penting daripada janji politik.
“Saya berharap rakyat memilih pemimpin yang benar-benar membantu tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik,” katanya.
Sehubungan itu, dia menyeru rakyat Johor supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan memberikan sokongan kepada Kerajaan MADANI di bawah Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kesinambungan pentadbiran di peringkat negeri dan Persekutuan.





